Laporan dan syor yang pernah dikemukakan kepada kerajaan hampir 30 tahun dulu boleh dijadikan panduan untuk mengelak lebih banyak tragedi menimpa pusat tahfiz, kata timbalan perdana menteri.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kejadian kebakaran sekolah agama rakyat dan tahfiz tidak boleh dibiarkan berlaku lagi selepas ini.
Justeru, katanya, kerajaan berharap laporan dan usul daripada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai kebakaran di Yan, Kedah pada 1989 lalu diteliti jawatankuasa penyiasat insiden di Jalan Keramat Ujung di Kuala Lumpur semalam.
Tragedi malang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah awal pagi itu mengorbankan 23 nyawa dengan sebahagian besar mangsa ialah pelajar.
"Saya dimaklumkan cadangan dan syor RCI lalu tak dilaksanakan atau diguna pakai,” kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas menghadiri program TN50 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur hari ini.
Pada 22 September 1989, sebuah bangunan asrama perempuan Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah dijilat api dan mengorbankan 27 pelajar.
Sekolah agama itu - yang lebih dikenali dengan nama Pondok Pak Ya - terletak di Padang Lumat.
Dalam kejadian yang berlaku semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan ia bukan berpunca daripada masalah litar pintas.
Malah lebih misteri apabila pihak bomba menemui dua tong gas kuning di koridor luar bilik asrama pusat tahfiz berkenaan.
Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai perkara itu bagaimanapun menggesa agar semua pihak tidak membuat spekulasi dan menunggu keputusan laporan siasatannya selesai.
“Saya telah adakan perbincangan dengan ketua pengarah bomba dan juga ketua polis Kuala Lumpur mengenai kemungkinan-kemungkinan itu. Kita tak harus buat spekulasi sehingga siasatan diperoleh secara kondusif.
“Sebarang kemungkinan akan dikemukakan kepada jawatankuasa yang saya sebut dan kita akan maklum kepada umum kalau ada unsur-unsur jenayah dan unsur-unsur luar dari kesalahan teknikal termasuk litar pintas di premis itu,” katanya.
