Jawatankuasa Pengurusan Bencana Langkawi hari ini meminta semua pengusaha pelancongan di pulau itu menangguhkan sementara aktiviti pelancongan laut mereka berikutan keadaan cuaca yang tidak begitu baik pada masa ini.
Pengerusinya, Isahak Murat berkata penangguhan aktiviti-aktiviti seperti jet ski dan ‘island hopping’ ini adalah sebagai langkah mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
“Setakat ini, sebuah syarikat pengusaha Naam Travel Sdn Bhd telah bersetuju untuk menghentikan aktiviti laut mereka sementara waktu dan saya berharap semua pengusaha membuat langkah yang sama,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau turut menasihatkan komuniti nelayan untuk memantau keadaan cuaca dan berhubung dengan pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini sebelum mengambil keputusan keluar ke laut semasa keadaan cuaca sekarang.
“Ini tidak bermaksud untuk melarang mereka ke laut tetapi lihat keadaan dahulu dan maklumkan kepada APMM yang boleh memberikan panduan lanjut kepada mereka,” katanya.
Isahak yang juga Pegawai Daerah Langkawi berkata keadaan hujan diselangi angin kuat sekali sekala yang berlaku di pulau ini diramalkan berterusan dalam tempoh sehari ini.
Menurutnya bilik gerakan pengurusan bencana di Pejabat Daerah Langkawi juga sudah beroperasi dan boleh dihubungi di talian 04-9666963.
“Orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan ini untuk menyalurkan sebarang maklumat tentang apa-apa kejadian ekoran keadaan cuaca ini,” katanya.
Setakat ini, beliau berkata bilik gerakan itu telah menerima laporan lima jalan raya sudah dinaiki air namun hanya dua jalan sahaja yang terpaksa ditutup sementara.
“Jalan Mata Air (di Mukim Ulu Melaka) ditutup untuk kenderaan ringan kerana kenaikan paras air melebihi 0.5 meter dan sebatang pokok tumbang merentangi jalan menuju ke Gunung Raya,” katanya.
- Bernama
