Sebanyak 581 mangsa daripada 144 keluarga di daerah Kuala Muda terjejas akibat banjir kilat hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda Kapten Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata hujan lebat yang berterusan sejak 9 malam tadi sehingga awal pagi ini menjejaskan 10 kampung di daerah Kuala Muda.
“Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan rasmi dibuka dan lebih 30 anggota ditugaskan membantu dalam operasi banjir kilat kali ini,” katanya dalam kenyataan di Sungai Petani hari ini.
Banjir itu melibatkan tiga kampung di Gurun, empat di Sungai Petani dam tiga di Merbok.
Kawasan paling teruk terjejas ialah Kampung Padang Regent, Tikam Batu yang melibatkan 200 mangsa dari 40 keluarga, Kampung Sungai Badak sebanyak 120 mangsa (30 keluarga) dan Kampung Sungai Bongkok yang melibatkan 100 mangsa (30 keluarga).
Di KULIM, APM meneruskan pemantauan di kawasan berpotensi dinaiki air di Kulim dan Bandar Baharu.
Jurucakap APM Kulim memberitahu bahawa setakat ini, hanya dua rumah di Kampung Padang Cina, Mukim Padang Cina yang terjejas akibat banjir dan tiada pusat pemindahan dibuka.
Pegawai dan anggota Pasukan Tindak Balas Kecemasan Peringkat Komuniti (CDERT) turut bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir jika hujan tidak berhenti dalam masa sejam.
APM Kulim meminta orang ramai segera melaporkan sebarang kejadian banjir di kawasan itu dengan menghubungi talian 04-4903746.
41 dipindah di Sg Petani
Di Sungai Petani, sebuah pusat pemindahan dibuka di Surau Kampung Tengah petang ini, yang menempatkan kira-kira 41 mangsa daripada 10 keluarga, berikutan banjir kilat yang melanda beberapa kampung di daerah itu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda Kapten Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata kesemua mangsa yang ditempatkan itu adalah dari Kampung Tengah dan Kampung Dakwah.
Beliau berkata banjir kilat itu juga berlaku di beberapa kampung lain yang menjejaskan lebih 600 penduduk daripada 159 keluarga.
"Selain 10 kampung yang dilaporkan terjejas sebelum ini, terdapat dua lagi kampung di Bedong yang turut terjejas akibat banjir iaitu Kampung Haji Ngah dan Kampung Lombong,” katanya.
Beliau berkata keadaan mungkin akan bertambah buruk jika hujan masih berterusan dan pihaknya sedang memantau situasi itu.
13 keluarga dipindah di Langkawi
Sebanyak 13 keluarga dari dua buah kampung di sini telah dipindahkan setakat ini selepas kediaman mereka dinaiki air pada hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Langkawi, Isahak Murat berkata sembilan daripada keluarga terlibat adalah dari Kampung Bohor Masjid, tiga lagi dari Kampung Belak dan sebuah dari Kampung Lubuk Setol.
“Mereka kini ditempatkan sementara di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang sehingga keadaan banjir di kawasan kediaman mereka pulih,” katanya semasa dihubungi Bernama.
Menurutnya arahan perpindahan itu dikeluarkan selepas paras air di kawasan kampung-kampung berkenaan berada pada 1.5 meter.
“Kami akan terus memantau keadaan walaupun sudah ada beberapa kawasan lain yang semakin pulih dari banjir ini yang disebabkan oleh hujan berterusan sejak pagi tadi,” katanya.
- Bernama
