Firma China Zhejiang Geely Holding Group (Geely) akan menamakan calon “sesuai” untuk mengetuai syarikat perkilangan Proton, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB).
DRB-Hicom, yang memegang 50.1 peratus saham Kumpulan Proton, berkata perkara itu sebahagian daripada rundingan dengan Geely.
Menurut DRB-Hicom lagi, kumpulan perniagaan China itu akan menyalurkan kepakaran dalam pengeluaran, perkilangan, operasi dan pemasaran kepada PONSB.
“PONSB membentuk sebahagian besar operasi Kumpulan Proton, justeru itu amat penting kita mempunyai orang yang tepat untuk kerja itu.
“Pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat,” kata Pengarah Urusan DRB-Hicom Datuk Syed Faisal Albar.
Timbalan Ketua Pegawai eksekutif (CEO) Radzaif Mohamed dikekalkan bagi memastikan integrasi lancar.
PONSB adalah satu satu daripada entiti bawah Kumpulan Proton yang bertanggungjawab untuk pengeluaran, operasi, perkilangan dan pemasaran.
Dua lagi syarikat penting kumpulan itu ialah Proton Holding Bhd (PHB) dan syarikat pemasaran Proton Edar Sdn Bhd, yang juga subsidiari PHB.
Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa pengurus besar Dongfeng Honda Engine Co Li Chunrong, yang baru menyertai Geely, akan dilantik sebagai CEO Proton.
Geely dan DRB-Hicom tidak mengesahkan atau menafikan perkara itu.
Pada Mei lalu, DRB-Hicom menjual 49.9 saham proton kepada Geely.
Proton Holdings telah mencatat kerugian bertahun-tahun, yang sekali gus menjejaskan DRB-Hicom – syarikat berkaitan kerajaan yang dikawal oleh taikun Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Pengkritik menolak penjualan syarikat pembuat kereta pertama negara itu kepada negara asing.
