ULASAN Tidak ada siapa yang tidak robek tangkai hatinya mengenang jeritan anak-anak kecil, tenggelam dalam api marak ketika kebakaran di sebuah sekolah tahfiz di Keramat, Kuala Lumpur semalam.
Bagaimana perasaan ibu kehilangan tiga nyawa anaknya serentak dalam peristiwa menyayat hati itu, hanya tuhan yang tahu.
Tidak dapat dibayangkan pula bagaimana runtuhnya perasaan seorang isteri kehilangan suami tercinta yang baru seminggu lalu bersama-sama menaiki pelamin.
Wanita malang isteri salah seorang tenaga pengajar di sekolah itu dilapor menangis setiap masa di tempat kejadian. Belum kering air mata mereka tertumpah ke pipi.
Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mengulangi tragedi sama 28 tahun lalu di Yan Kedah. Sebahagian besar kita masih mengingati insiden kebakaran di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah yang mengorbankan 27 pelajar perempuannya.
Beberapa tahun lepas, sebuah telemovie dihasilkan untuk memperingati mangsa-mangsa kebakaran sekolah agama yang dikenali sebagai Pondok Pak Ya itu. Drama itu - meskipun tiada elemen percintaan Uda dan Dara - paling tidak mengajar sesuatu. Apa yang kita sebut sebagai pengalaman.
Malangnya, jika siasatan kebakaran di Pondok Pak Ya berpunca daripada api lilin dan tilam yang tidak sesuai digunakan, siasatan awal bomba pula tidak menolak kemungkinan kebakaran di Darul Quran Ittifaqiah akibat perbuatan khianat.
Namun terdapat persoalan-persoalan lain mengenai aspek keselamatan yang timbul. Antaranya pusat tahfiz itu dilapor tidak memiliki sijil kelayakan menduduki selain bangunan itu sendiri dikhabarkan tidak mempunyai pintu kecemasan untuk menyelamatkan nyawa pelajar yang terperangkap.
Tragedi berulang
Kejadian terbaru ini mengundang pelbagai komentar masyarakat di media sosial. Ada yang meluahkan rasa marah dan mengecam pentadbir sekolah berkenaan kerana lalai dalam isu keselamatan.
Selepas insiden ini, barulah ramai tersedar bahawa sejak dua tahun lalu, dilaporkan sekurang-kurangnya 200 kebakaran melibatkan sekolah agama berlaku di negara kita.
Tidak kurang juga yang mempertahankan pentadbiran sekolah-sekolah agama atau sekolah tahfiz ini dengan alasan mereka berhadapan dengan kekangan kewangan.
Namun alasan itu tidak boleh dijadikan sebab untuk mengetepikan ciri-ciri keselamatan sehingga kita harus menggadai nyawa anak-anak ini dengan mudah.
Memang benar kejadian yang berlaku di Darul Quran Ittifaqiyah itu merupakan takdir yang telah ditentukan Tuhan. Tetapi Tuhan juga tidak mahu kita tunduk dan bergantung kepada takdir semata-mata.
Tuhan menyuruh kita berusaha untuk mengubah nasib. Menyalahkan takdir atas sesuatu kemalangan tanpa ada usaha untuk mencegahnya, merupakan jalan pintas untuk kita menutup kesilapan sendiri.
Sementara itu kita juga tidak harus menyempitkan pandangan dengan mengaitkan isu kecuaian sedemikian dengan pentadbir sekolah tahfiz semata-mata.
Sebenarnya banyak lagi tragedi yang berlaku di negara ini disebabkan kelalaian manusia dan bukan hanya melibatkan sekolah-sekolah agama.
Misalnya setahun yang lalu, kita dikejutkan dengan kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang menyebabkan enam orang terkorban dan 11 cedera. Bangunan itu dikatakan tidak mempunyai sijil perakuan bomba (FC).
Daripada isu struktur bangunan atau sekolah runtuh kerana tidak mengikut spesifikasi, sampailah kepada kemalangan maut akibat bas dipandu laju pada musim perayaan.
Ataupun kejadian anak mati lemas kerana tertinggal di dalam kereta - semua ini menunjukkan sikap memandang enteng faktor keselamatan.
Walau apa pun alasan, keselamatan harus menjadi keutamaan agar sesuatu bencana dapat dihindari - atau sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan nyawa.
Jika selepas semua peraturan keselamatan dipenuhi dan bencana yang mengorbankan nyawa masih tetap berlaku, barulah kita boleh berlapang dada untuk pasrah menerima takdir.
Patuhi peraturan
Selain itu, peraturan yang ada mestilah benar-benar dipatuhi dan bukan hanya sekadar calitan di atas kertas. Kita sendiri sebagai sebahagian daripada masyarakat mempunyai peranan bagi memastikan peraturan keselamatan oleh pihak yang berkenaan dilaksanakan.
Pada ibu bapa yang ada menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok atau tahfiz, inilah waktunya mereka perlu menyiasat sama ada pihak pentadbiran sekolah mematuhi aspek-aspek keselamatan sewajarnya.
Jika tidak, tragedi-tragedi malang seperti yang menimpa pelajar tahfiz di Keramat ini paling lama hanya akan diingati dua tiga bulan sahaja.
Kemudian kita kembali semula kepada keadaan asal dan lupa mengenainya hinggalah satu lagi kejadian sama berulang.
Selepas itu kita berasa terhantuk dan tengadah sekejap. Kemudian kita berjalan lagi dengan mata terpejam sehingga terhantuk lagi.
Mentaliti acuh tidak acuh dan sikap sambil lewa terhadap aspek keselamatan harus dikikis daripada minda kita tanpa mengira sesiapa pun.
Menyalahkan takdir Tuhan memang kerja mudah. Tetapi kita juga harus belajar daripada pengalaman-pengalaman terdahulu, yang selalu kita sebut sebagai takdir itu.
RUSNIZAM MAHAT adalah anggota sidang pengarang Malaysiakini.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
