Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN |  "Saya dok terpikiaq, apa la dosa MT ramai-ramai tu kena berdiri teguh belakang Najib hanya kerana nak umum Mat Taib masuk Umno balik. Mat Taib bukan sapa pun sedangkan depa tu ahli MT."

Satu mesej masuk ke telefon semasa Datuk Seri Najib Razak dengan wajah tenang dan macho mengumumkan satu berita yang seolah-olah membuat waktu di Malaysia ini terhenti.

Mesej itu dihantar seorang pemimpin Pemuda Umno di salah satu bahagian di Kedah.

Bermula dengan khabar angin parlimen akan dibubarkan, magnitud gempa untuk sidang media di PWTC itu terus berubah mengikut dinamisme semasa.

Tersebar pula berita ada tokoh besar yang pernah meninggalkan Umno akan kembali kepada parti itu. Justeru sederet nama dinukilkan.

Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir, Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Zaid Ibrahim jadi sebutan.

Tentulah nama yang besar akan masuk semula. Ia sesuai dengan wajah-wajah anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berdiri megah bak hulubalang Melayu di belakang presiden mereka.

Beberapa nama yang disebut itu memanglah nampak macam tidak logik untuk masuk semula Umno. Tapi rasa tidak logik itu diatasi dengan gambaran yang Najib akan membuat pengumuman penting.

Lawatan rasmi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Perlis pun disingkatkan. Sudah tentu berita yang diumumkan itu membawa gegaran yang besar.

Maka memang besar sungguhlah. Dia ialah Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, seorang bekas menteri besar Selangor dan bekas naib presiden Umno.

Mencari 'roh' dalam PAS

Muhammad mengejutkan ramai orang apabila mengumumkan pembabitannya secara rasmi ke dalam PAS pada April 2013 walaupun sudah mendekati parti berkenaan setahun sebelum itu.

"Saya tidak berhajat untuk jadi calon ataupun apa-apa jawatan, saya cuma ingin bagi sokongan kepada PAS.

"Selama 40 tahun saya bersama Umno, memang benar negara maju, Selangor maju, saya tidak nafikan, tetapi sekarang pembangunan yang dinamik perlu ada rohnya," katanya dipetik Utusan Malaysia pada 22 April.

Muhammad membuat pengumuman tersebut sambil ditemani Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebahagian pemimpin PAS menggambarkan perubahan sikap Muhammad itu adalah kerana hatinya semakin dekat dengan Islam. Biasalah, PAS memang kadang-kadang menganggap seolah-olah Islam itu PAS dan PAS itu Islam.

Muhammad - atau lebih mudah dikenali dengan nama Mat Taib - masuk PAS selepas kalah dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden Umno.

Dan selepas beberapa ketika namanya tidak lagi disebut-sebut, maka tidak mengejutkan langsung jika ahli politik yang tercicir seperti beliau menggunakan masa untuk mendalami agama.

Muhammad melihat PAS adalah tempat yang baik untuk beliau dan sesuai dengan jiwanya. Tak ada janggal apa pun di situ.

Ia mula menjadi janggal apabila sebahagian pemimpin dan anggota PAS berkeyakinan yang perjuangan mereka akan berjaya hanya dengan siku dan lutut yang terselindung di sebalik jubah serta lilitan serban masing-masing.

PAS yang membawa aliran itu bukanlah PAS yang dikenali Muhammad ketika beliau mula mendekati parti berkenaan.

Apa agaknya kata PAS?

Perubahan yang berlaku kepada PAS memang mengelirukan ramai orang. Justeru tidak mustahil ia juga mengelirukan Muhammad. Dalam bahasa mudah, ia tentu mengecewakan beliau.

Jika tidak kecewa, apa sebab beliau meninggalkan PAS dan menyertai PKR? Kekecewaan itu bukan dirasai Muhammad saja.

Dalam PKR pun Muhammad tidak begitu menonjol di mata umum. Tiba-tiba Najib mengumumkan Muhammad - yang namanya hampir tidak terlintas di fikiran orang semasa teka-teki sebelum sidang media itu berlangsung - diumum kembali semula ke pangkuan Umno.

Kata Najib, Allah telah membuka hati Muhammad untuk bersama parti yang pernah dipimpinnya selama berdekad-dekad lalu.

Alasan yang diberi Muhammad ialah kerana Melayu. Ia berlaku ketika PAS juga berjuang dengan slogan yang hampir sama - Islam dan Melayu.

Memang tidak bijaklah PAS kalau dia menguar-uarkan perjuangan mereka untuk Melayu saja. Daripada sebuah parti pembangkang yang berjaya dibawa ke arus perdana, PAS menjadi pertubuhan dakwah yang kadang-kadang mengelirukan.

Ketika satu pimpinan menegaskan rela kalah atau tinggal "hanya satu kerusi", pemimpin lain pula mengarahkan pengikut mereka bersiap sedia menjadi kerajaan.

Kecuali sebuah kerajaan memang dapat ditubuhkan dengan "hanya satu kerusi", ceramah dan propaganda PAS tidak lebih daripada sebuah retorik yang diulang-ulang untuk menyedapkan perasaan penyokong sendiri saja.

PKR memang bukan sebuah parti Melayu dan Islam. Muhammad seorang ahli politik yang sayang kepada Melayu dan Islam.

Suatu ketika dulu Muhammad nampak macam mahu meletakkan kepentingan Islam lebih ke depan berbanding Melayu. Justeru dia menyertai PAS. Tidak ada sebarang tanda beliau akan membuat pusingan U bagi kembali mendaki PWTC ketika itu.

Tetapi ketika PAS pun sama berjuang demi Melayu macam Umno, pilihan yang lebih baik untuk maksud kepentingan Melayu bagi tokoh seperti Muhammad ialah parti Melayu sendiri. Umnolah.

Beliau menjadikan PKR seperti sebuah pusat transit.

Kemasukan semula Muhammad ke dalam Umno boleh saja ditafsir dari mana-mana sudut, termasuk sebagai manifestasi kegagalan PAS menterjemah maksud slogan PAS Untuk Semua itu.

PAS bukan untuk semua. PAS hanya untuk orang yang hanya boleh bersetuju dengan Abdul Hadi dan orang di sekelilingnya.

Muhammad bukan satu-satunya orang yang dikecewakan PAS. Pada masa sama elok juga diintai sejauh mana kekecewaan sebenar PAS apabila Muhammad kembali kepada Umno.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS