Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Langkah kerajaan memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) untuk meringankan beban masyarakat boleh dipuji.

Namun manfaatnya dilihat tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasar, khususnya di negeri Kelantan.

Tinjauan Malaysiakini di Kota Bharu mendapati, KR1M tidak terlalu menarik minat masyarakat, hatta golongan berpendapatan rendah dan penduduk kampung.

Malah, ada di kalangan mereka tidak sedar kewujudan dan lokasi KR1M kerana ia dikatakan jauh daripada kawasan kependudukan.

Justeru, KR1M yang mempunyai enam cawangan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini hanya menjadi tumpuan golongan tertentu seperti peniaga kecil dan 'pembeli segera' yang berkebetulan melalui kedai berkenaan.

Bagi golongan peniaga, mereka memilih KR1M atas faktor harga barangan berpatutan yang ditawarkan.

Abidah Sa'ud, 57, berkata, sebagai peniaga kedai kopi dia memilih membeli barangan seperti susu, sos, minyak di KR1M.

Bagaimanapun katanya, itu pun bukan selalu dan bergantung kepada keadaan.

"Sebabnya mak cik berniaga di kawasan kampung, KR1M paling dekat di Jalan Padang Tembak (Pengkalan Chepa). Itu pun jaraknya kira-kira 10km.

"Kalau kebetulan lalu kawasan itu, mak cik singgah. Kalau tidak beli di kedai berhampiran rumah. Lagi pula harga tidak jauh berbeza," katanya yang mengusahakan kedai makan kecil-kecilan.

Malaysiakini semalam melaporkan, KR1M termasuk di Kelantan ditutup buat sementara untuk tempoh yang tidak dinyatakan.

Sementara itu bagi Ezzmer Daruh, 29, yang tinggal berhampiran KR1M cawangan Padang Tembak, Pengkalan Chepa berkata, dia tidak menggunakan kemudahan itu susulan tiada keperluan mendesak.

"Sebagai orang bujang saya lebih senang membeli apa-apa keperluan di kedai runcit berhampiran rumah. Kalau mahu ke KR1M saya kena keluar jauh sikit walaupun ia terletak di kawasan sama.

"Mungkin ia menjadi tumpuan golongan suri rumah dan peniaga," jelasnya.

Sementara itu, Malaysiakini sempat berbual dengan kakitangan KR1M yang ditemui di Kota Bharu yang menjelaskan konsep kedai yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu banyak mendapat tumpuan peniaga kecil dan penduduk berdekatan.

"Di sini, golongan peniaga ramai datang untuk beli barangan keperluan kedai mereka. Selebihnya pelanggan yang kebetulan lalu di kawasan ini atau penduduk setempat.

"Secara logiknya, penduduk yang jauh daripada kedai tak datang semata-mata untuk beli satu, dua barang di sini," katanya yang enggan namanya dinyatakan.

Lihat Komen
ADS