Petronas menyeleweng harga tanah, dakwa bekas eksekutif
Seorang bekas eksekutif Petronas Dagangan Berhad (PDB) mendedahkan kegiatan pemalsuan kertas kerja projek pembelian tanah untuk pembinaan stesen minyak Petronas yang berlaku di seluruh negara.
Bekas Eksekutif Residen PDB Wilayah Utara, Abdul Jabbar Mohammad mendakwa, kegiatan tersebut didalangi oleh orang tertentu dalam Network Development Retail Comittee (NDRC) - badan penilaian harga tapak tanah bagi membina stesen minyak Petronas.
Beliau berkata, pemalsuan maklumat yang dimaksudkan itu ialah kumpulan penilai membuat penilaian harga yang lebih tinggi daripada yang dicadangkan dalam kertas kerja.
Menurutnya, dalam sesetengah kes pula, kelulusan untuk membeli tapak stesen minyak oleh Petronas tidak dibentang dan diluluskan oleh jawatankuasa NDRC.
"Di antara kawasan yang paling banyak terbabit ialah di Perak dan Pulau Pinang. Di Perak ia membabitkan tapak di Jalan Lahat, Menglembu; Taman Batu Gajah; Taman Pinggir Hijau dan di Sidec, Bandar Seri Iskandar.
"Manakala di Pulau Pinang pula ialah di Lot 119 dan Lot 123 di kawasan berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lot 1735 dan 1757 di Sungai Lokan, kedua-duanya di daerah Seberang Perai," katanya ketika dihubungi oleh malaysiakini hari ini.
Laporan polis
Abdul Jabbar berkata, beliau telah membuat laporan kepada polis dan Jabatan Peguam Negara mengenai penyelewengan tersebut tetapi sehingga hari ini tidak ada tindakan lanjut dibuat.
Menurutnya, pihak polis berjanji untuk menjalankan siasatan manakala Jabatan Peguam Negara pula memberitahunya bahawa bahawa tidak ada sebarang unsur jenayah berlaku.
Beliau membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut di Georgetown pada 10 November lalu dan 26 April tahun lalu. Katanya, beliau membuat empat laporan kepada Jabatan Peguam Negara yang masing-masing bertarikh 26 Mei, 14 Jun, 24 Jun dan 28 Mac lalu.
Abdul Jabbar mendakwa beliau adalah orang yang bertanggungjawab membuat kertas kerja mengenai pembelian tapak stesen minyak Petronas tersebut.
"Kertas kerja saya untuk pembelian tanah di Lot 1757 dan 1735 Sungai Lokan di Seberang Perai mencadangkan ia berharga RM1.1 juta tetapi PDSB meluluskan RM2.5 juta tanpa dibentangkan dalam NDRC," katanya.
Beliau berkata, dalam kes di Falim pula pemilik tanah menawarkan harga RM3.5 juta tetapi NDRC membuat penilaian RM5 juta.
Sementara tapak tanah di Lot 119 dan 123 di Seberang Perai, NDRC telah menaikkan harga belian daripada RM3.7 juta seperti cadangan kertas kerja tetapi telah meningkat kepada RM4.9 juta.
Menurut Abdul Jabbar lagi, perkara ini berterusan berlaku kerana pihak audit dalaman membuat lapuran palsu dengan mengatakan tidak berlaku penyelewengan kepada Board Audit Commitee, PDB.
Pegawai-pegawai PDB tidak dihubungi untuk mendapatkan komen (*) .
(*) NOTA PENGARANG : Akibat kesilapan penyuntingan, perkataan "dapat" telah tertinggal di perenggan ini. Perenggan ini sepatutnya berbunyi: "Pegawai-pegawai PDB tidak DAPAT dihubungi untuk mendapatkan komen." Kesilapan ini amat dikesali.