Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Walaupun menerima pelbagai kritikan, kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) sedikit sebanyak membantu meringankan beban kos sara hidup terutama  mereka yang tinggal di bandar besar seperti di ibu kota.

Susulan penutupan sementara kedai itu semalam, rata-rata mereka yang berpendapatan rendah ketika ditemui mengeluh selepas mendapat tahu berita berkenaan.

Seorang pelanggan KR1M di Kuarters DBKL, Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimah, 40 mengakui penutupan kedai itu memberi kesan kepada dirinya.

"Saya memang biasa beli barang di sini sebab senang dan dekat dengan rumah tapi lepas tutup ni agak susahlah kepada saya," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Kata Rahimah, meskipun ada harga barangan di KR1M lebih mahal berbanding tempat lain, namun ia berbaloi dengan masa dan tenaga yang diperlukan untuk ke pasaraya di luar kawasan perumahannya.

"Sekarang saya kena cari masa nak ke pasaraya yang agak jauh dari rumah dan belanja pun lebih sikitlah daripada biasa," katanya.

Pasaraya lebih jauh

Sementara itu, bagi Ida, 34 KR1M sangat membantu beliau dan suami menampung kehidupan berbelanja di bandar besar seperti di Kuala Lumpur.

Kedai itu juga menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan keperluan harian asas, walaupun masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk kerana saiznya yang kecil.

Mengakui penutupan sementara itu menyukarkan dirinya, ibu kepada tujuh anak itu berkata dia kini terpaksa ke tempat yang lebih jauh bagi membeli barang keperluan.

"Jadi, bila dah tutup ni kenalah pergi jauh sikit, duit juga tu," kata Ida.

Rasa yang sama turut dikongsi Pak Lah, 39 yang perlu meluangkan lebih banyak masa untuk ke pasaraya terdekat bagi mendapatkan keperluan harian.

"Sebelum ini kami tak perlu ke tempat lebih jauh bagi memenuhi keperluan isi rumah," katanya.

Bagi peniaga kecil, Mohamad Ainul, 68 pula, KR1M menjadi tumpuan bagi mendapatkan keperluan berniaga kerana barangan seperti tepung, gula dan susu yang lebih murah.

Mohamad yang ditemui di KR1M di Petaling Jaya mengakui perbelanjaannya bertambah sedikit dengan penutupan sementara kedai berkenaan.

"Bila dah ditutup jadi beban dan masalah sekarang ni," kata Mohamad.

Sementara itu, Nabita Yaakob, 56 berkata penutupan sementara KR1M menyukarkan beliau kerana terpaksa menunggu masa cuti anaknya yang bekerja bagi mendapatkan keperluan isi rumah.

"Kewujudan KR1M memudahkan kami warga tua kerana terletak dekat dengan rumah dan lebih menjimatkan.

"Jadi bila dah tutup ni kenalah tunggu anak-anak bercuti hari Sabtu, Ahad untuk beli barang dapur," katanya yang ditemui di KR1M, Desa Mentari, Petaling Jaya.

Selain harga yang lebih murah, katanya KR1M turut menyediakan perkhidmatan pembayaran bil utiliti tanpa perlu pergi ke tempat lebih jauh untuk menjelaskan bil berkenaan.

Tinjauan Malaysiakini di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan semalam mendapati kedai itu dalam proses ditutup dan sudah menghentikan jualan.

Antara KR1M yang dilapor telah ditutup ialah di Banting, Selangor; Teluk Intan, Perak; Changlun, Kedah; Ajil, Terengganu; Kota Padawan, Sarawak dan di Tawau, Sabah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam berkata, penutupan sementara KR1M adalah sebahagian daripada penambahbaikan seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Julai lepas.

Hamzah berkata kerajaan melaksanakan penambahbaikan di bawah insiatif KR1M2.0, antaranya agar rangkaian itu dapat menawarkan harga yang lebih murah dan pilihan barangan yang lebih banyak.

 

Lihat Komen
ADS