Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keharmonian tak bermakna isu 'sensitif' didiamkan
Diterbitkan:  Sep 22, 2017 10:53 AM
Dikemaskini: 3:04 AM

Usaha untuk mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk tidak seharusnya bermakna isu yang dianggap "sensitif" didiamkan, kata pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam bidang hak budaya, Karima Bennoune.

Mengakui yang soal menguruskan budaya untuk sebuah masyarakat yang pelbagai seperti di Malaysia adalah mencabar dan memerlukan pertimbangan tertentu, beliau berkata ia juga menjadi potensi yang besar kepada negara.

"Usaha untuk mewujudkan kesatuan yang berasaskan kepelbagaian adalah penting, tetapi keharmonian tidak boleh menandakan mendiamkan sahaja isu yang dianggap 'sensitif'," katanya.

Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan adalah meletakkan semua budaya, tradisi dan agama di Malaysia pada kedudukan yang sama berdasarkan piawaian antarabangsa, berbanding menganggap golongan tertentu sebagai "pihak lain".

Bennoune berkata demikian dalam laporan awalnya selepas lawatan 11 hari ke Malaysia, atas jemputan kerajaan Malaysia.

Antara tempat yang dikunjunginya adalah Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak, serta bertemu 62 agensi kerajaan dan pelbagai kumpulan masyarakat sivil dan aktivis.

Beliau akan melaporkan hasil lawatannya kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB selepas mendapat maklumbalas daripada kerajaan Malaysia.

Dalam laporan itu, beliau berkata pegawai yang bertanggungjawab dalam soal budaya berulangkali menyatakan komitmen dan kebanggaan mereka terhadap kepelbagaian di Malaysia, yang menurutnya perkara yang sangat baik.

Beliau juga berkata gembira apabila melihat budaya dianggap sebagai perkara penting di Malaysia, dan memuji pelbagai program kerajaan untuk menjaga dan mempromosikannya.

'Kontroversi' dan 'sensitif'

Namun, Bennoune turut menyeru agar kerajaan menjelaskan dan menilai semula kriteria yang digunakan dalam menapis atau mengharamkan buku dan filem, dan menjadikan proses tersebut lebih telus bagi menjaga hak budaya termasuk kebebasan berekspresi.

"Ungkapan seperti 'kontroversial' dan 'sensitif' terlalu subjektif untuk mematuhi piawaian antarabangsa berkaitan kebebasan ekspresi," katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan menggugurkan semua dakwaan hasutan terhadap kartunis Zulkiflee Anwar Ul-Haque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, serta menarik kembali larangannya untuk ke luar negara.

Bennoune dan pakar hak asasi PBB yang lain akan mengikuti perkembangan kes itu apabila perbicaraannya bersambung minggu depan.

"Kerajaan Malaysia perlu membangunkan rancangan yang jelas untuk menjamin kebebasan berekspresi," katanya lagi.

Zunar didakwa atas tuduhan menghasut pada 3 April 2015, ekoran ulasannya berhubung keputusan kes liwat II Datuk Seri Anwr Ibrahim di Twitter.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin, tetapi dilarang ke luar negara walaupun pasportnya tidak dirampas.

Lihat Komen
ADS