Berita Malaysiakini

'Di mana beras itu sekarang, Noh?'

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tan Sri Noh Omar perlu mencermin diri terlebih dahulu sebelum menuduh kerajaan Selangor terlibat dalam salahguna kuasa dan penyelewengan, kata pembantu politik kepada menteri besar Selangor, Shuhaimi Shafie.

Shuhaimi sebaliknya berkata Umno Selangor yang diketuai Noh hingga kini gagal membuktikan tohmahan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Azmin Ali.

"Tan Sri Noh perlu membuktikan dirinya bersih terlebih dahulu dalam isu-isu yang berbangkit termasuk ketika menjawat jawatan menteri kabinet.

"Apa berlaku pada program SUBUR (Baucer Subsidi Beras Untuk Rakyat) atau sumbangan beras pada rakyat?

"Di mana beras itu sekarang?" Soalnya dalam kenyatan media hari ini.

Selain itu, Shuhaimi turut meminta penjelasan Noh mengenai status 30 ekar tanah miliknya yang dibeli dengan harga RM100,000 di kawasan Tanjong Karang.

Semalam, Utusan Online melaporkan kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu yang menyifatkan Azmin berlagak sombong apabila didakwanya enggan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Noh mendakwa terdapat bukti beberapa kes penyelewengan dan salah guna kuasa sudah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, serbuan SPRM dalam isu melibatkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Jana Niaga Sdn Bhd dan Universiti Selangor (Unisel) membuktikan pentadbiran Azmin memerlukan dokongan integriti daripada SPRM.

“Dia (Azmin) jangan ingat pembangkang ini malaikat? Macam maksum sangat hingga tidak ada salah.

"Sepatutnya perlu ada pihak ketiga yang melakukan proses semakan dan yang terbaik dalam isu rasuah ini adalah SPRM. Jadi, janganlah nak mengaburi mata rakyat dengan sikap ego, seolah-oleh mereka ini telus sehingga tidak perlu menandatangani IBR," katanya.

Bukan sekadar baca ikrar

Bagaimanapun Suhaimi berkata di sebalik fitnah dilemparkan, kerajaan Selangor tetap membuka pintu kepada siasatan pihak berkuasa, khususnya SPRM.

"Terbukti bahawa tidak pernah seorang pun ahli politik daripada Pakatan Negeri Selangor didakwa atas salah laku rasuah atau penyelewengan atas tuduhan yang dilemparkan itu.

"Apa yang ada hanyalah dakwaan tidak berasas, palsu dan belum pun dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Hakikatnya, katanya, kerajaan negeri melalui anak-anak syarikatnya seperti Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjunjung teguh integriti seawal tahun 2013 dengan memeterai 'integrity pact'.

"Dan ia dibuktikan dengan tindakan, bukannya sekadar mengangkat tangan membaca ikrar.

"Hasilnya, khazanah negeri bertambah dan pada masa sama diagihkan kepada rakyat Selangor menerusi lebih 40 program Inisiatif Peduli Rakyat atau IPR," jelasnya.

Suhaimi berkata, Noh hanya mengikut skrip yang disediakan pihak tertentu bagi terus memburukkan kerajaan Selangor.

"Ingin ditegaskan, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang jelas memfitnah secara jijik terhadap kerajaan negeri Selangor," katanya.