Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Konvoi bawa Anwar terlibat kemalangan
Diterbitkan:  Sep 22, 2017 4:51 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Konvoi kereta dan van yang membawa pegawai penjara dan Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam kemalangan, kata peguam Sivarasa Rasiah.

Sivarasa berkata kemalangan itu berlaku sewaktu Anwar dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur ke Penjara Sungai Buloh selepas menjalani rawatan selama empat hari.

Bagaimanapun ketua umum PKR itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius akibat kemalangan itu, kata Sivarasa.

Menurutnya, kemalangan tersebut berlaku pada jam 12.30 tengah hari di persimpangan trafik berdekatan Saujana Utama, Sungai Buloh apabila pegawai penjara yang memandu kenderaan dinaiki Anwar menekan brek mengejut bagi mengelak kenderaan dari arah bertentangan.

"Kereta pengiring telah melanggar kereta di hadapan dan kereta yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengalami kerosakan di bahagian belakang kereta," katanya dalam satu kenyataan media.

Sivarasa berkata, Anwar agak terkejut dengan kejadian berkenaan dan diberi ubat tahan sakit ketika dirawat doktor di Penjara Sungai Buloh.

Selasa lalu, Anwar dikejarkan ke HKL akibat masalah tekanan darah kurang stabil.

Beliau diletakkan dalam pemantauan doktor dan turut menjalani rawatan fisioterapi intensif akibat kecederaan lama di bahu.

Sementara itu, Sivarasa berkata, Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Jeyaindran Tan Sri Sinnathurai dijadual bertemu Anwar pada jam 5 petang ini.

Ia katanya, bagi menetapkan sama ada Anwar memerlukan sebarang rawatan lanjut di hospital.

Lihat Komen
ADS