Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perlis nafi banjir di Kangar dari air empangan Timah Tasoh
Diterbitkan:  Sep 23, 2017 10:31 AM
Dikemaskini: 3:10 AM

Kerajaan negeri Perlis menafikan dakwaan kononnya banjir di bandar Kangar dan kawasan sekitarnya berpunca dari air Empangan Timah Tasoh di Beseri dekat Padang Besar.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Mat Rawi Kassim berkata sebenarnya banjir tersebut berpunca dari air Sungai Gial yang masuk ke Sungai Repuh untuk aliran ke laut melalui Sungai Perlis tetapi terhalang apabila air Sungai Perlis penuh melimpahi tebing.

"Air Sungai Perlis penuh disebabkan air hujan dan menerima juga kemasukan air dari Sungai Santan dan Sungai Kechor menyebabkan parasnya tinggi dan tidak dapat menerima sebarang kemasukan air," katanya.

Beliau menambah, aliran air Sungai Perlis ke laut pula perlahan kerana bertembung dengan air pasang besar sekali gus memudahkan berlaku banjir.

Mat Rawi menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya bandar Kangar banjir disebabkan semua enam pintu Empangan Timah Tasoh dibuka sekali gus.

Menurut beliau, pintu empangan berkenaan hanya dibuka empat sahaja daripada enam pintu yang sedia ada walaupun air empangan berada pada paras bahaya iaitu 29.98 meter, melebihi paras bahaya 0.38 meter.

Mat Rawi berkata aliran air Empangan Timah Tasoh dialirkan melalui Sungai Korok dan Sungai Abi berhampiran sementara pintu ke Sungai Santan ditutup sepenuhnya bagi mengelak air masuk ke bandar Kangar.

Katanya, hanya limpahan air Sungai Korok dan Sungai Abi sahaja yang masuk ke Sungai Santan dan seterusnya ke bandar Kangar dalam pergerakan aliran masuk ke Sungai Perlis.

Projek RTB

Sementara itu, di Sungai Petani, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata
pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) melibatkan beberapa sungai di Kedah dijangka berupaya mengurangkan masalah banjir yang berlaku, terutamanya sewaktu berlakunya air pasang dan hujan lebat yang berterusan.

Menurutnya, pelaksanaan RTB Sungai Muda sebagai contoh, yang menelan belanja RM1.4 bilion dan siap pada 2015, berjaya mengurangkan masalah banjir di beberapa kawasan di daerah Kuala Muda.

"Kawasan yang terlibat banjir di daerah Kuala Muda kali ini adalah di kawasan tanah rendah, namun mungkin ramai lagi yang akan terjejas di daerah ini jika projek RTB Sungai Muda belum siap.

"Saya turut dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa projek RTB Sungai Kedah, yang menelan kos RM641 juta yang meliputi tiga pakej akan siap menjelang 2019," katanya kepada pemberita selepas melawat 293 mangsa banjir daripada 65 keluarga yang berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kechil, Mukim Bukit Meriam, Kota Kuala Muda, di Sungai Petani malam tadi.

Menurutnya, pelaksanaan projek RTB Pendang yang meliputi tiga pakej dan menelan belanja RM350 juta pula dijadual bermula tahun hadapan.

"Jika semua projek RTB yang dilaksanakan ini siap sepenuhnya kelak, aliran air ke laut akan lebih mudah dan dapat mengurangkan kejadian banjir seperti ini," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata, walaupun trend air dilihat menurun selepas dua hari banjir melanda beberapa daerah di negeri ini, namun semua jabatan dan agensi berkaitan diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga bagi berdepan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir.

"Kuala Muda mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai berbanding Kota Setar, Kubang Pasu dan Pendang, malah walaupun trend air menurun tetapi kami minta semua jabatan dan agensi terus mengawasi keadaan, khususnya di kawasan terjejas banjir.

"Ini kerana, berdasarkan laporan kaji cuaca, hujan dijangka turun lagi malah fenomena air pasang juga boleh menyebabkan berlakunya limpahan air walaupun tiada hujan," katanya.

Beliau yang berpuas hati dengan persiapan yang dibuat bagi menghadapi banjir, turut menasihatkan semua penduduk agar mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkenaan sekiranya diminta berpindah ke pusat pemindahan bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah yang tiba di pusat pemindahan SK Bukit Kechil pada 10.45 malam, meluangkan masa meninjau keadaan mangsa banjir selain turut menyampaikan bantuan Barakah kepada semua keluarga mangsa banjir di situ.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Muda, Nordin Yahya; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Norizan Khazali; Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten Pertahanan Awam Azahar Ahmad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Merdeka, Datuk Ali Yahya serta wakil jabatan dan agensi berkaitan.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS