Paling Popular
Terkini

Projek menambak laut di Pulau Pinang mungkin tidak mendapat kebenaran kerajaan pusat, sekali gus mengganggu pelaksanaan pelan induk pengangkutan negeri itu yang turut melibatkan pembangunan laluan transit aliran ringan (LRT).

Ketika masalah kesesakan lalu-lintas Pulau Pinang belum dapat diatasi sepenuhnya Lim Guan Eng berkata ada satu lagi cara penduduk di negeri itu itu boleh melihat LRT dibina.

"Satu-satunya cara untuk menjadikan ia kenyataan ialah menukar perdana menteri, kemudian baru kita boleh dapat kebenaran membina LRT.

"Kita tak ada pilihan kecuali menukar perdana menteri," kata Lim semasa majlis makan malam Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Bayan Baru malam tadi.

Ketua menteri pulau pinang itu menjadi antara penceramah utama dalam program yang dibuat bagi mengumpul dana untuk DAP menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Turut hadir Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu yang juga menjadi penceramah di depan kira-kira 3,000 orang hadirin itu

Kata Lim penduduk Pulau Pinang mesti bersama-sama menukar perdana menteri sekarang untuk mengubah nasib negeri itu.

Banyak tempat menarik

Bulan lalu Datuk Seri Najib Razak memberitahu penduduk Balik Pulau, Putrajaya tidak dapat meluluskan projek menambak laut di selatan Pulau Pinang jika ia menjejaskan periuk nasi penduduk setempat.

Kata perdana menteri beliau menyedari kerumitan kira-kira 1,500 orang penduduk setempat yang didakwa terjejas jika projek seluas 4,500 ekar itu dilaksanakan.

Menyatakan rasa terkejut dengan pendirian kerajaan pusat itu, Lim berkata, projek penambakan laut diluluskan kerajaan pusat di negeri lain seperti Johor, Melaka dan Kedah.

Lim sentiasa menegaskan kehidupan nelayan di kawasan penambakan laut itu akan terus dilindungi kerana syarikat yang akan menjalankannya - SRS Consortium - sudah mengadakan pertemuan dengan pihak terbabit bagi memastikan keperluan mereka dipenuhi.

Sementara itu Lim berkata, antara punca kesesakan lalu-lintas di Pulau Pinang adakan kesan pembangunan dan pelaburan serta industri pelancongan di negeri itu.

Semasa hujung minggu, katanya, ramai pelancong berkunjung ke bahagian pulau dan mereka tidak boleh dipersalahkan kerana ada banyak tempat menarik untuk dikunjungi di situ.

Ekoran masalah berkenaan, kerajaan negeri mengemukakan pelan induk pengangkutan bagi mengatasi kesesakan lalu-lintas dengan membina rangkaian yang lebih baik menghubungkan semua lima daerah di bahagian pulau.

Kata Lim projek tebus guna itu akan menyumbang RM27 bilion dana untuk pelan induk berkenaan yang dijangka siap pada 2030. Bagaimanapun ia masih belum terlaksana kerana tidak mendapat kebenaran kerajaan pusat.

"Najib tidak akan meluluskannya. Sebelum ini dia menjanjikan LRT untuk orang Pulau Pinang tetapi semua janji itu tidak ditepai," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS