Paling Popular
Terkini

Meskipun menghormati hak kaum dan agama lain di Selangor penganjur "Better Beer Festival 2017" tertakluk kepada peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Katanya, pendirian kerajaan negeri ialah ia bukan saja mengenai menghormati hak kaum dan agama yang lain tetapi menjamin dan memelihara hak itu.

"Tetapi dalam mana-mana acara sekali pun penganjur perlu mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri atau pun tempatan," kata Azmin ketika ditemui pemberita di pelancaran Selangor Biobay, di Pulau Indah, hari ini.

Gabungan 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor pada Jumaat lalu memohon agar Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan sekiranya terdapat cadangan pesta arak dianjurkan di negeri itu.

Pengerusi gabungan berkenaan Nor Nazilah Idris berkata baginda selaku ketua agama Islam di Selangor berkuasa untuk menghalang sebarang aktiviti atau program yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam daripada dilangsungkan di negerinya.

Bagaimanapun, mengulas apakah terdapat permohonan di peringkat negeri Azmin berkata beliau tidak pasti.

"Tidak pasti itu berlaku diperingkat PBT kerana ia tidak sampai di peringkat negeri," kata Azmin.

Pada Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menolak permohonan permit penganjuran pesta tersebut atas sebab keselamatan, selain ia juga bercanggah dengan enakmen yang terkandung dalam undang-undang kecil DBKL.

Pesta berkenaan sepatutnya diadakan dari 6 hingga 7 Okt di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur, dengan menampilkan 250 jenama arak yang berbeza dari 43 kilang arak dari seluruh dunia.

Lihat Komen
ADS