Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi dakwa notis bankrap NFC 'helah murahan'
Diterbitkan:  Sep 24, 2017 4:46 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Berdepan kemungkinan muflis ekoran notis kegagalan membuat bayaran kepada pihak yang menyamannya, Rafizi Ramli berkata, apa yang berlaku kepadanya semalam adalah "helah murahan" pihak terbabit.

Naib presiden PKR itu memberitahu Datuk Seri Salleh Ismail dan syarikat National Feedlot Corporation (NFC) bertujuan untuk memfitnah serta menyerang peribadinya.

Bagaimanapun kata Rafizi dia tidak terkejut sebaliknya bersimpati dengan Salleh yang didakwanya "terlalu terikut-ikut dengan perasaan marah dan dendam" atas apa yang berlaku ke atas NFC dan tempiasnya terkena pada keluarganya.

"Dengan mendapatkan notis dari mahkamah itu, (Salleh) bertujuan untuk memberi gambaran bahawa saya berlaku tidak jujur kerana menerima sumbangan orang ramai bagi membayar jumlah yang dituntut beliau tetapi menyimpan jumlah itu dan tidak membayarnya.

"Selain itu, ia digunakan sebagai modal politik murahan oleh tentera siber Umno untuk menyerang saya sebagai seorang yang bankrap," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Akhbar Berita Harian semalam menyiarkan satu notis mahkamah menuntut Rafizi menjelaskan bayaran ganti rugi kepada Salleh - yang juga suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil - dan NFC sebanyak RM306,999.17.

Rayuan sebelum ini gagal

Notis itu disiarkan selepas mereka mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Rafizi boleh memberikan maklum balas mengenainya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh ia dikeluarkan.

Laporan New Straits Times menyebut Salleh mengesahkan beliau mengambil langkah berkenaan dan memulakan prosiding kemuflisan ke atas Rafizi.

Kata Salleh anggota parlimen Pandan itu gagal menyelesaikan bayaran ganti rugi dan kos yang ditetapkan mahkamah sebelum ini.

"Kami (Salleh dan peguam NFC) sudah menghubunginya tiga kali berhubung isu ini tetapi belum mendapat maklum balas hingga hari ini. Justeru kami akan teruskan dengan prosiding kemuflisan," lapor akhbar itu semalam.

Sebelum ini Rafizi telah gagal dalam rayuannya dan diarah membuat bayaran ganti rugi bersama kos kepada Salleh serta NFC.

Ekoran penghakiman itu Rafizi pada Julai lalu membuat rayuan terbuka kepada orang ramai untuk membantunya menjelaskan bayaran berkenaan.

Malaysiakini melaporkan, peguam Rafizi dimaklumkan jika bayaran itu gagal dilunaskan mereka mengancam untuk memulakan prosiding kebankrapan terhadapnya.

Walaupun kes itu masih belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan undang-undang menetapkan dia perlu melunaskan bayaran walaupun mungkin akan menang di peringkat rayuan.

Kempen itu kemudian berjaya mengumpul dana sehingga kira-kira RM1.5 juta daripada penderma.

Boleh buat temu janji

Menurut Rafizi pada umumnya orang awam tidak begitu arif mengenai selok-belok perjalanan undang-undang bagi mengendalikan hal berkaitan bayaran selepas sesuatu penghakiman kes saman dikeluarkan.

Oleh itu, katanya, mudah untuk pihak yang berkepentingan menggunakan kaedah undang-undang memberi gambaran dia sengaja enggan menjelaskan bayaran walaupun sudah menerima sumbangan lebih RM1.5 juta daripada rakyat Malaysia.

"Kaedah menghantar notis menuntut bayaran selepas satu penghakiman dibuat dalam kes saman seperti ini tertakluk kepada kaedah-kaedah yang terkandung di dalam Peraturan Mahkamah 2012 (Rules of Court 2012) yang diwartakan.

"Perintah 10 Peranggan 1 menyebut bahawa, tertakluk kepada akta-akta dan peraturan-peraturan dalam Peraturan Mahkamah, sesuatu notis (dipanggil juga writ) perlulah disampaikan secara peribadi kepada pihak yang menerima atau dihantar melalui pos berdaftar.

"Dalam kes notis menuntut bayaran seperti kes ini, ia bermakna peguam yang dilantik oleh Salleh perlulah membuat temu janji dengan saya untuk datang berjumpa dan menyampaikan sendiri notis tuntutan itu yang perlu ditandatangani oleh saya dalam satu salinan sebagai persetujuan saya telah menerima notis tersebut.

"Perintah 62 Perenggan 5 (mengenai substituted service) pula menyebut jika sesuatu notis perlu disampaikan secara peribadi tetapi mahkamah merasakan adalah tidak praktikal (impractical), satu permohonan boleh dibuat kepada mahkamah oleh pemohon untuk mendapatkan arahan agar kaedah-kaedah lain digunakan untuk menyampaikan notis itu kepada pembayar.

"Mahkamah kemudiannya berhak mengarahkan agar satu notis diiklankan mengikut apa-apa kaedah yang difikirkan sesuai, selalunya diiklankan di dalam sebuah akhbar edaran nasional," katanya lagi.

Menurut Rafizi kaedah mendapatkan perintah mahkamah agar notis diiklankan bukanlah cara biasa yang digunakan untuk menuntut bayaran seperti dalam kes yang dilaluinya kerana tugas menyampaikan notis secara serahan tangan untuk diterima secara peribadi olehnya bukan satu perkara yang sukar.

Ditampal pada pintu rumah

Katanya beberapa peguam memaklumkan pemohon biasanya perlu menunjukkan bukti mereka gagal menjejaknya. Kaedah mengiklankan di dalam akhbar pula, kata Rafizi, akan melibatkan kos yang tinggi.

"Sebab itu saya tidak terkejut apabila Salleh dan NFC mengambil jalan yang pelik dan menelan belanja sedangkan cara biasa (yang boleh dilakukan) hanyalah menghubungi saya atau datang ke pejabat saya," katanya.

Rafizi berpendapat langkah yang diambil Salleh itu sengaja berniat untuk memalukan dan menunjukkan dia tidak amanah.

"Apa yang tidak dimaklumkan kepada rakyat ialah, saya tidak boleh membuat bayaran sehingga mereka menyampaikan notis tuntutan itu secara tangan dan saya menerimanya secara peribadi kerana saya tidak tahu jumlah sebenar yang perlu saya bayar.

"Hakim Azizul Azmi Adnan bukan saja menganugerahkan bayaran RM300,000 kepada NFC dan Salleh Ismail sebaliknya perlu dibayar dengan kadar faedah yang dikira pada setiap hari," katanya.

Malangnya, kata Rafizi, perkara "mudah" - iaitu menghubunginya untuk membuat temu janji menyerahkan notis tuntutan yang menyatakan jumlah yang perlu dibayar - tidak pernah diusahakan oleh Salleh.

Pihak Salleh, kata Rafizi, hanya meninggalkan surat di rumahnya sebagai bukti mereka berkunjung ke situ dan dia pula tiada di rumah.

"Seterusnya mereka meninggalkan pula surat untuk menyatakan mereka mahu saya berada di rumah pada tarikh dan masa yang mereka tetapkan untuk saya menerima notis yang hendak mereka serahkan.

"Saya hanya tahu satu arahan mahkamah yang sama seperti diiklankan di dalam akhbar buat kali pertama pada hari Selasa lepas iaitu 19 September 2017, semasa saya pulang ke rumah sekitar jam 1 pagi selepas program seharian.

"Arahan mahkamah itu bertarikh 14 September 2017 dan memberi saya tempoh seminggu iaitu sehingga 21 September 2017, tetapi ditampal pada pintu rumah saya hanya pada 18 September 2017 dan hanya dilihat oleh saya pada pagi 19 September 2017.

"Pada 20 September 2017, saya berada di Sitiawan pada sebelah malamnya dan pada 21 September 2017, saya ada kes di mahkamah. Tarikh 22 September 2017 ialah cuti umum awal Muharram," katanya.

Sementara itu Rafizi berkata peguamnya akan mengira jumlah terkini yang perlu dibayar dengan mengambil kira bayaran faedah terbaru.

Bayaran melalui cek itu, katanya, akan diserahkan kepada Salleh dan NFC esok.

Lihat Komen
ADS