Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir: MAS beli Airbus, Boeing atau keduanya?
Diterbitkan:  Sep 25, 2017 10:15 AM
Dikemaskini: 2:32 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membangkitkan persoalan sama ada Malaysia Airlines Berhad (MAS) akan membeli pesawat udara Airbus atau Boeing - atau kedua-duanya - dalam tempoh terdekat.

Memetik laporan Flight International edisi 15 - 21 Ogos lalu, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata majalah berkenaan mendedahkan MAS akan membeli pesawat udara Airbus A350-900 bagi menggantikan A380 milik syarikat penerbangan berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi MAS Izham Ismail dipetik sebagai berkata penukaran pesawat udara itu akan memberi manfaat besar kepada syarikat berkenaan.

"Dalam laporan Flight International MAS dijadual mengambil enam pesawat udara A350-900 daripada Air Lease dengan dua pesawat pertama akan tiba menjelang akhir tahun," katanya melalui kemas kini terbaru blog beliau hari ini.

Pada masa sama kata Dr Mahathir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu Presiden AS Donald Trump Malaysia akan membeli 58 unit kapal terbang bernilai AS$10 billion (RM41.9 bilion) daripada Boeing.

Ia termasuk beberapa pesawat Boeing 787 Dreamliner yang dijelaskan Dr Mahathir sebagai pesaing untuk pesawat udara Airbus A350-900.

"Adakah MAS akan membeli Airbus A350-900 atau Boeing 787 Dreamliner, atau kedua-duanya?

"Adakah ia keputusan membeli 58 kapal terbang Boeing itu dibuat MAS atau keputusan peribadi Najib sebagai habuan untuk peluang bergambar dengan Trump?" katanya.

Najib mengadakan lawatan ke Rumah Putih dan bertemu Trump pada 13 September lalu.

Dalam pertemuan kedua-dua delegasi, Najib - melalui rakaman video yang tersiar - dilihat memberitahu Trump bahawa Malaysia bercadang meningkatkan pelaburan di AS melalui dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Khazanah Nasional Bhd.

Selain itu perdana menteri juga menyatakan Malaysia melalui MAS akan membeli lebih 25 pesawat udara Boeing 737 MAX 10 dan lapan 787 Dreamliner dari negara itu.

Kini dipandang tinggi

Kata Najib langkah itu adalah bagi membantu mengukuhkan ekonomi AS.

Pada 20 Sept lalu The Malaysian Reserve pula melaporkan MAS tidak akan membiayai dan memiliki 16 kapal terbang yang dibeli daripada Boeing.

Memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Peter Bellew laporan itu menyebut syarikat pemajak antarabangsa yang akan membeli kapal terbang itu dan memajaknya kepada MAS.

“Kapal terbang ini tidak akan dimiliki oleh Malaysia Airlines, namun akan dipajak, yang merupakan lumrah dalam industri penerbangan moden,” kata Bellew.

Dalam memo yang dikatakan panjang dan terperinci diedar kepada 14,000 kakitangan itu, Bellew (gambar) dilapor berkata pembelian terbaru itu kebetulan dengan berakhirnya perjanjian pajakan lain MAS.

Walaupun lawatan itu dikritik hebat sesetengah pihak Najib mendakwa Malaysia kini dipandang tinggi oleh dunia.

Kata perdana menteri, Malaysia yang dahulunya belum dikenali di peta dunia kini dilihat sebagai negara yang berjaya dan diakui oleh pemimpin dunia.

“Siapa kenal Malaysia (dahulu)? (Sebuah) negara pertanian, bilangan penduduknya tidak besar. Tetapi hari ini, kita merupakan sebuah negara yang berjaya.

“Sambutan dan penghormatan yang diberikan kepada saya oleh pemimpin-pemimpin dunia, termasuk yang terkini oleh presiden AS sendiri (Donald Trump), kerana mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 September lalu.

Kata Dr Mahathir beliau tertanya-tanya jika kemungkinan pembelian 64 pesawat Boeing dan Airbus itu memang sebahagian daripada rancangan MAS.

"Ke mana kapal terbang ini akan pergi? Sudah tentu ada banyak destinasi baru.

"Walaupun ada laporan bahawa MAS bersetuju dengan pembelian sejumlah besar pesawat udara itu ia tidak menjelaskan mengapa pihak pengurusan tiba-tiba melebarkan laluannya.

"Atau adakah MAS cuba menggembirakan perdana menteri dengan mengorbankan kecerdikan komersial?" katanya.

Ketika ini pun kata Dr Mahathir MAS tidak dapat "mengetepikan" enam pesawat udara Airbus A380 miliknya yang jarang-jarang digunakan.

"Semua ini akan menjejaskan asas MAS. Adakah kita akan melihat satu lagi kegagalan syarikat penerbangan negara?" katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS