Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Testimoni patologis kurang tepat, peguam beritahu Mahkamah Tinggi

Mahkamah Tinggi Seremban hari ini mendengar hujah peguam Eric Paulsen yang mewakili keluarga mangsa kematian dalam tahanan P Karuna Nithi yang berkata terdapat kekurangan testimoni daripada pihak patologis yang menjalankan bedah siasat.

Semasa membuat penghujahan dalam pendengaran permohonan semakan yang dibuat Pejabat Peguam Negara bagi mengubah keputusan koroner dalam kes ini, Paulsen menekankan bahawa koroner - yang memutuskan Karuna Nithi dipukul hingga mati oleh anggota polis dan tahanan - tidak melakukan kesilapan kerana terdapat kekurangan dalam testimoni patologis Dr Sharifah Safoorah Syed Alwee.

“Beliau sendiri menerima bahawa Karuna Nithi memiliki penyakit hati yang tidak begitu kuat dan penyakit hati yang tidak begitu kuat tidak boleh menyebabkan kematian.

“Beliau mempertimbangkan terdapat 49 kecederaan, walaupun pada akhirnya beliau masih merumuskan (punca kematian) berakibat daripada perubahan lemak di dalam hati, tanpa asas," Paulsen memberitahu Malaysiakini.

Perubahan lemak dalam hati merupakan keadaan kesihatan yang dikaitkan dengan masalah alkoholisme dan obesiti.

Oleh itu, dengan mengambil maklum keterangan Sharifah dalam testimoni beliau bahawa keadaan hati Karuna Nithi 'agak kurang berat penyakitnya', Paulsen selanjutnya menunjukkan si mendiang mungkin tidak akan mati jika beliau tidak didera.

"Benar, dia ada penyakit hati berlemak tetapi ia kurang berat dan dia tidak akan mati kecuali dengan keadaan layanan terhadap dirinya; semua serangan itu, keadaan terabai, kurang makanan, kurang rehat, tiada perubatan dan gangguan - kesemua itu menyumbang kepada kematiannya.

Paulsen yang juga pengarah eksekutif Lawyers For Liberty memaklumkan bagaimana Sharifah semasa soal-jawab balas meminda kesimpulan beliau setelah memperakui beliau membuat sangkaan luka-luka di dada Karuna Nithi antaranya disebabkan teknik cardiopulmonary resuscitation (CPR) yang dilakukan ke atas dirinya.

Ketua pendakwaraya Negeri Sembilan Nik Azhan Hakim Nik Mahmood dalam permohonannya kepada Mahkamah Tinggi Seremban yang difailkan pada Februari awal tahun ini berkata terdapat kekurangan dalam keputusan koroner Jagjit Singh Bant Singh dan koroner itu telah silap dengan menolak testimoni Sharifah.

Karuna Nithi pada awalnya direman di balai polis Tampin pada penghujung Mei 2013.

Jurutera itu ditemui mati di dalam lokap polis pada 1 Jun 2013. Rakaman CCTV polis dari lokap Karuna Nithi menunjukkan dia di serang anggota polis dan tahanan lain di dalam sel tersebut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS