Paling Popular
Terkini

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini membebaskan Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan atas tuduhan menghina bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Peguam Sanjeevan, S Prakash, berkata hakim Mahkamah Sesyen Mohammed Mokhzani Mokhtar membatalkan tuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadapnya.

"Mereka (pihak pendakwa) mendakwa Sanjeevan menulis 'Khalid, adakah kamu dunggu?' di Facebook tetapi tidak pernah membuktikan bahawa laman sosial itu milik Sanjeevan.

"Oleh itu, mahkamah membebaskannya," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Sanjeevan mendakwa pelbagai "tuduhan luar biasa" dilemparkan terhadap dirinya dengan tujuan menutup mulutnya.

"Tetapi akhirnya saya gembira bahawa badan kehakiman telah menegakkan keadilan untuk saya," katanya.

Oktober lalu, Sanjeevan didakwa mengeluarkan kenyataan yang menghina di akaun Facebooknya terhadap Khalid.

Dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di laman Facebook.

Ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Lihat Komen
ADS