Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengendali ‘dobi Islam saja’ nafi beliau rasis
Diterbitkan:  Sep 26, 2017 4:03 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Pengendali ‘dobi Islam sahaja’ di Muar, Johor yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini, hari ini menafikan bahawa dia adalah seorang rasis.

Lelaki yang enggan namanya disiarkan itu berkata, beliau hanya ingin memastikan kebersihan dikekalkan sepanjang masa.

"Jika kita melihat isu ini dari perspektif Islam, kebersihan sangat penting bagi kami dan ia sesuatu yang mesti kita perjuangkan pada setiap masa.

“Ada juga dobi lain yang berdekatan, oleh itu tidak menjadi masalah kepada mereka yang bukan beragama Islam jika mereka perlu mencari tempat lain untuk mencuci pakaian,” katanya,  seperti yang dipetik oleh FMT.

Menurutnya, syarat baru itu dilaksanakan sejak seminggu lalu kerana 95 peratus pelanggannya adalah orang Islam manakala masyarakat bukan Islam mempunyai pilihan kerana terdapat beberapa kedai dobi lain di kawasan itu.

Beliau turut meletakkan papan tanda berbunyi: Dobi hanya menerima pelanggan Islam sahaja atas faktor kesucian. Segala kesulitan amat dikesali”.

Selain itu turut tertera tulisan putih berlatar belakang warna hijau “Sila tanggalkan kasut di luar”.

Isu dobi itu menjadi tular di media sosial pada minggu lalu sehingga mencetuskan perbincangan hangat kerana hanya menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan Islam sahaja.

Mengulas kritikan orang ramai di media sosial, lelaki itu menafikan perkhidmatan yang ditawarkan bersifat perkauman.

"Mereka yang bukan Islam bukan tidak ada pilihan lain kerana ada beberapa lagi dobi lain yang dibuka di kawasan ini yang mereka boleh pergi.

“Kami hormati agama lain tapi cuma nak pastikan kebersihan (kerana ia) penting dalam Islam,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Perkara itu menjadi lebih panas apabila disokong oleh Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Nooh Gadut.

Semalam Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan langkah pengendali dobi itu sebagai "sempit" dan bahawa amalan itu bertentangan dengan Islam yang memudahkan penganutnya, pada masa sama tidak sesuai dalam masyarakat yang pelbagai agama dan budaya.

Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim turut menyatakan rasa terkejut baginda dengan kewujudan dobi khas untuk orang Islam sahaja di Muar, Johor.

Malah, putera sultan Johor itu menganggap tindakan berkenaan sebagai terlalu melampau.

Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak pula menyifatkan langkah berkenaan sangat membimbangkan.

Katanya, negara perlu mengekang ekstremisme seperti itu jika mahu membina Malaysia sebagai negara pelbagai budaya yang aman dan progresif.

Lihat Komen
ADS