Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki diarah hadiri kaunseling kerana berseluar pendek
Diterbitkan:  Sep 26, 2017 10:04 PM
Dikemaskini: 4:22 PM

Seorang lelaki yang memakai seluar pendek ketika dalam perjalanan untuk bermain futsal berdepan tindakan undang-undang daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).

Semalam, Wan Khairul Hayyee Wali, 30, menerima notis memberitahu beliau melanggar undang-undang syariah.

Menurut Khairul, beliau dalam perjalanan untuk bermain futsal dan perlu turun dari kereta untuk membeli burger buat isterinya ketika ditahan pegawai JAHEAIK.

Seperti dilapor The Star Online Wan Khairul seperti berkata, dia tidak tahu yang dia tidak boleh memakai seluar pendek ketika bermain futsal.

Menurut notis itu, Wan Khairul melanggar undang-undang Seksyen 5 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan No 2 (1985) dan diarahkan menghadiri sesi kaunseling bulan depan.

Sekiranya gagal berbuat demikian, dia akan dipanggil ke mahkamah syariah serta berdepan risiko denda RM1,000 jika didapati bersalah.

“Jika ia kesalahan, mereka (JAHEAIK) perlu jelaskan kepada orang ramai. Bagaimana kami nak tahu bahawa ia adalah kesalahan kerana pemain-pemain bola sepak pun memakai seluar pendek,” katanya.

Wan Khairul bagaimanapun dia akan menghadiri sesi kaunseling itu.

Jangan jadi punca gaduh

Dalam laporan sama, pegawai JAHEAIK dilapor berkata peraturan itu terhad kepada lelaki Islam sahaja. Tindakan tidak dikenakan kepada lelaki bukan Islam, namun wanita bukan Islam turut ditegah memakai seluar pendek.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa JAHEAIK Mohd Fadzuli Mohd Zain dipetik New Straits Times sebagai berkata Wan Khairul tidak bersalah jika berseluar pendek semasa berada di gelanggang futsal.

"Ini bukan kes pertama, kami pernah mengeluarkan notis seumpamanya kepada tiga lelaki lain untuk kesalahan sama sejak tahun ini.

"Ketiga-tiga mereka menghadiri sesi kaunseling. Individu keempat sudah berjanji untuk menghadiri kaunseling," katanya dipetik berkata.

Isu seluar pendek sering menjadi perdebatan di kalangan masyarakat umum.

Persoalan seumpamannya  pernah timbul sebelum ini dan menarik pendapat di kalangan ahli agama.

Penceramah terkenal Azhar Idrus dalam satu video ceramahnya yang dimuat naik di Youtube menegaskan paha lelaki adalah aurat dan seseorang lelaki yang mendedahkan anggota itu lebih tiga kali tidak boleh menjadi wali nikah.

Dalam video lain di YouTube yang merupakan rakaman kuliah pada 2012, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengulas bahawa isu tersebut mengandungi perbezaan pendapat di kalangan ulama dan menyeru agar ia tidak menyebabkan pergaduhan.

Lihat Komen
ADS