Paling Popular
Terkini

ULASAN | PAS tentu mengharapkan cuaca di sekitar Kuala Terengganu pada hujung minggu ini boleh bersahabat dengan mereka.

Bukannya apa, dijangkakan akan ada 200,000 orang memenuhi Pantai Tok Jembal di Kuala Nerus yang terletak lebih sedikit daripada suku marhalah dari pusat bandar Kuala Terengganu.

Ada banyak acara menarik - setidak-tidaknya untuk penyokong PAS - yang diatur penganjur Fastaqim 2.0 mulai esok hingga lusa.

Ia bukan saja menyediakan acara panjat tiang licin, tetapi jauh lebih penting daripada itu. Lihat saja padatnya program yang akan dihidang kepada pengunjung nanti. Ia penuh dengan aura kebangkitan PAS yang dinanti-nantikan.

Butir-butir kata yang akan dituturkan barisan pimpinan PAS pasti dinanti-nantikan; akan didengari, diteliti dan dibuat kesimpulan. Sehaluan atau tidak, ia akan ditentukan kemudian oleh siapa yang 'membacanya'.

Namun, seteguh lambaian deretan pohon ru yang mengakari pesisir pantai negeri Darul Iman itu, barangkali ia cukup menggambarkan kekuatan jentera akar umbi PAS sebagai parti politik yang sukar dinafikan.

Ada yang menyindir dengan mengatakan acara itu sebagai "tempat yoya-yoya" (berhibur), namun pasti mereka sebenarnya sedar Fastaqim 2.0 itu adalah paluan 'gendang perang' PAS menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang kian mendekat.

Bagi penganalisis politik tempatan, Dr Mazlan Ali, himpunan tersebut adalah kemuncak kesungguhan PAS untuk membuktikan mereka kekal utuh walaupun mengalami perpecahan pada 2015 yang menyaksikan kemunculan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Proses tawar-menawar

"Saya menjangka PAS akan menonjolkan Fastaqim 2.0 dengan kejayaan menghimpunkan 200, 000 penyokong sebagai asas persediaan parti itu untuk menempuh PRU ke-14 dengan blok kuasa ketiga yang mampu mencabar BN serta Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Di perhimpunan itu, kemungkinan beberapa pemimpin dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) akan diumumkan menyertai Gagasan Sejahtera yang secara simboliknya menunjukkan pengaruh kerjasama yang diterajui PAS itu mampu menggugat BN dan HARAPAN," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

Beliau yang juga penyarah kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, prestasi Fastaqim 2.0 mungkin boleh dijadikan sandaran pemimpin PAS melakukan proses tawar-menawar dalam usaha PAS mendapat tempat di kedudukan yang sewajarnya.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, PAS kini tiada pilihan selain meneruskan agenda Gagasan Sejahtera demi kelangsungan politik mereka.

"PAS menghadapi jalan buntu dengan HARAPAN disebabkan faktor DAP dan AMANAH. PAS juga bimbang, kerjasama politik bersama BN sangat berisiko kerana mereka berdepan perpecahan sekali lagi.

"Justeru, Fastaqim 2.0 adalah wajah tradisional PAS, dan pemilihan Terengganu sebagai lokasi perhimpunan pula menggambarkan keinginan PAS kekal dengan kiblat kepimpinan ulama," ujar Mazlan.

Tambah beliau, acara pada 29 dan 30 September itu juga menjadi isyarat bahawa PAS menolak sebarang idea-idea komprehensif digariskan Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Datuk Iskandar Abdul Samad yang nampak cenderung dengan HARAPAN.

"Dan pada masa yang sama ia membuang persepsi kerjasama dengan BN akan menjadi realiti.

"Fastaqim 2.0 adalah penegasan dan pengukuhan PAS kefahaman PAS kekal sebagai sebuah parti politik yang berpaksikan gerakan tajdid dan harakah Islamiah dan mesej ini perlu difahami semua pihak termasuk BN atau HARAPAN, " katanya.

Sementara itu Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, apa yang ingin ditegaskan oleh kepimpinan PAS dalam Fastaqim 2.0 ialah, parti itu masih relevan lagi untuk mengharung PRU ke-14.

"Pimpinan PAS juga mahu tegaskan bahawa mereka merupakan blok berkecuali dan ia menepis dakwaan serta persepsi selama ini bahawa PAS kini memesrai Umno," katanya.

Tambah pensyarah Universiti Malaya itu, kemasukan nama-nama besar dijangka diumumkan pimpinan PAS selepas Tan Sri Muhammad Muhammad Taib - yang pernah bersama PAS kembali - kepada Umno.

"Ia akan menjadi pelonjak momentum kepada imej PAS bahawa mereka masih diminati dan diterima rakyat," kata Awang Azman.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysia kini yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan. Dia boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS