Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa gas klorin dilapor stabil - polis
Diterbitkan:  Sep 29, 2017 5:50 AM
Dikemaskini: Sep 29, 2017 8:21 AM

DIKEMASKINI 2.15PM  Seramai 40 mangsa kebocoran gas klorin di Kampung Tambak Paya di sini masih dirawat di hospital dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata 35 daripada mereka dirawat di Hospital Melaka dan bakinya di Hospital Jasin.

Mereka adalah antara 50 mangsa yang sebelum ini dilaporkan oleh Angkatan Pertahanan Awam digegaskan ke hospital akibat kejadian itu.

“Kebanyakan mangsa telah dibenarkan pulang dan pusat operasi polis di sini dijangka ditutup tengah hari ini,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya pihak bomba juga telah memeriksa baki enam tong terbabit dan mengesahkan keadaan di lokasi selamat pada jam 4.30 pagi tadi.

Pada masa sama Afzanizar berkata masih terlalu awal untuk merumuskan kejadian itu mempunyai unsur jenayah.

Sementara itu, usaha Bernama untuk menemu bual mangsa yang dirawat di Hospital Melaka dan Hospital Jasin gagal selepas tidak dibenarkan berbuat demikian oleh petugas hospital.

Terdahulu dilaporkan pasukan penyelamat menemui tujuh tong berisi gas klorin di sebuah kebun di kampung berkenaan petang semalam dan satu daripada tong terbabit bocor, mencemarkan kawasan seluas kira-kira satu kilometer.

Akibat kejadian, sebuah pusat pemindahan dibuka di Sekolah Kebangsaan Tambak Jaya dan menempatkan 79 mangsa yang merangkumi 25 keluarga.

'Tiba-tiba rasa pening'

Tiba-tiba rasa pening, pedih mata, sakit tekak dan mengantuk, itu yang dialami penduduk Kampung Tambak setelah terhidu bau busuk dalam kejadian kebocoran gas klorin di kampung itu petang semalam.

Salina Samin, 40, yang berniaga makanan berdekatan lokasi kejadian berkata beberapa pelanggan yang makan tengah hari di kedainya turut mengadu perkara yang sama dan beliau mengambil keputusan untuk menutup kedai lebih awal pada 3 petang kerana berasa ‘tidak sedap hati’.

“Rasa pening dan mengantuk berlarutan hingga lewat malam, saya hanya mengetahui berlaku kejadian gas beracun lewat petang semalam melalui orang ramai apabila kenderaan bomba mula tiba di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, pekerja swasta, S. Balakrisham, 45, berkata ketika sedang menonton televisyen bersama keluarga di ruang tamu, beliau bergegas keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku apabila menghidu bau klorin.

“Setelah keluar dari rumah saya dapat lihat beberapa jiran keluar rumah dan ketika itu saya mula rasa sakit-sakit tekak dan pening,” katanya.

Balakrisham berkata setelah bomba sampai di tempat kejadian kira-kira pukul 6 petang, beliau dan lapan anggota keluarganya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Tambak Paya.

“Setelah mendaftar di pusat pemindahan, saya dan anggota keluarga membuat keputusan untuk berpindah ke rumah rakan di Malim kerana mengalami sakit belakang dan mula kembali ke rumah pada 7 pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata masih lagi terdapat sisa-sisa bau klorin di dalam rumah namun tidak mengalami sebarang rasa sakit.

Bernama melaporkan seramai 35 orang kini masih mendapat rawatan di Hospital Melaka dan lima orang lagi di Hospital Jasin setelah sesak nafas akibat terhidu gas klorin apabila satu daripada tujuh tong gas tersebut bocor petang semalam.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati orang kampung mula pulang ke rumah masing-masing sejak awal pagi dan mereka menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS