Malaysiakini BERITA

Bau gas Isnin lalu dari kilang di Pasir Gudang - NEA S'pura

Massita Ahmad, Bernama

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bau yang ‘tidak selesa’ yang dihidu penduduk di Singapura pada Isnin lepas, adalah berpunca dari sebuah kemudahan perindustrian di Pasir Gudang, Johor, demikian menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) semalam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di republik itu, NEA berkata ia telah menghubungi rakan sejawatannya di Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada hari yang sama, untuk mendapatkan bantuannya.

“JAS telah menghantar anggotanya untuk mengenal pasti sumber bau itu. Ia telah mengesan sumber bau itu dari sebuah kemudahan perindustrian di Pasir Gudang dan telah mengambil tindakan terhadap pengendalinya,” kata NEA dan menambah ia akan terus memantau kualiti udara di republik itu.

Pada petang 25 September lepas, NEA dan Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerima panggilan dari orang awam melaporkan mengenai bau gas yang kuat yang dikesan di beberapa lokasi di Singapura, terutama bahagian timur laut republik itu.

Kenyataan itu berkata NEA dan SCDF dengan segera menghantar pasukan mereka untuk menjalankan siasatan dan mengukur kualiti udara di sekitar kawasan itu.

Siasatan NEA termasuk melakukan pemeriksaan di kilang-kilang di kawasan terlibat, dan lain-lain kemungkinan tentang kebocoran gas dan kimia.

NEA dan SCDF tidak menemui apa-apa yang tidak normal dalam operasi kilang di Singapura yang boleh menyebabkan bau gas seperti itu, menurut kenyataan tersebut.

Dalam tempoh bau yang dilaporkan itu, NEA berkata angin bertiup perlahan dan terdapat pertumpuan angin di bahagian utara Singapura.

“Ini mungkin membawa kepada pengumpulan dan penyebaran bau yang perlahan di kawasan itu,” katanya,” katanya.

- Bernama