Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Durian kampung atau pelbagai nama kontemporari - semuanya masih dianggap sebagai raja buah.

Kini ada istilah yang lebih moden seperti Musang King (atau nama lebih khususnya D197), Bukit Merah (D24), IOI (D168), Udang Merah atau Ang Aae (D175) dan Ochi atau Duri Hitam (D200) yang mendapat sambutan ketika ini.

Kini durian bukan saja menjadi buruan orang tempatan, malah digemari pelancong serta warga asing termasuk dari China.

Dan durian jenis itu mempunyai potensi sangat luas terutamanya selepas Jabatan Pertanian mendapat laluan pasaran pada 2011 untuk mengeksport durian dalam bentuk ulas sejuk beku (frozen pulp) ke China.

Kini durian pada umumnya bukan sembarangan buah. Ia adalah buah yang 'mahal'.

Ia diakui sendiri oleh Datuk Seri Najib Razak. Kata perdana menteri sekarang ada durian semahal RM100 sekilogram walaupun suatu ketika dulu pernah serendah RM1 sebiji.

Dan perdana menteri mengakui beliau adalah orang yang bertanggungjawab membawa durian ke China dan digemari rakyat negara itu.

Bekalan berkurangan

Tinjauan rambang Malaysiakini mendapati memang harga durian sekarang agak mahal.

Pada pandangan peraih dan penjaja, puncanya ialah permintaan yang tinggi ketika bekalan berkurangan.

“Durian memang kurang sebab dia mahu, saya mahu, semua orang mahu. Jadi harga mahal sikit.

"Apabila durian datang (dari pemborong) dengan harga mahal, kita pun terpaksa jual mahal,” kata Cheah Kim Wai, 36, dari kedai Durian SS2, Petaling Jaya.

Cheah yang menjual durian sejak 18 tahun tahun lalu berkata lonjakan harga durian juga disebabkan faktor cuaca, dan buah belum sampai musim sebenar.

“Harga memang mahal sekarang sebab buah kita kurang dan sekarang musim hujan, bukan sebab kita eksport ke China.

“Macam sayur juga. Kalau hujan mesti mahal sikit sebab hasil tak banyak tapi permintaan tinggi.

“Lainlah musim durian terutama pada Disember,” kata Cheah.

Kepelbagaian produk durian

Najib dalam ucapannya di majlis Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan serta Festival Makanan Malaysia di Serdang Selangor kelmarin, berkata idea menaikkan harga raja buah itu tercetus selepas beliau melihat lambakannya di Chow Kit.

Menurut perdana menteri suatu ketika dulu beliau melihat ada durian yang dijual pada harga RM1 sebiji.

Mengulas lanjut, Cheah berkata lonjakan harga raja buah itu juga didorong dari kepelbagaian produk hasil dari durian itu sendiri.

Kepelbagaian produk tersebut seperti pes durian, kuih bulan, aiskrim, tart kastard dan pencuci mulut.

Ia berbeza dari sebelum ini apabila cara menikmati buah itu lebih terhad.

“Dulu bila kita nak beli durian dari pekebun, kita boleh tawar harga dan pilih pembekal yang bagi harga murah.

“Ada peniaga jual sekilo RM3, peniaga B jual RM2.50 sekilo, peniaga C pula bagi RM2. Sebab apa? Sebab durian tak boleh pergi mana.

“Tapi sekarang kita tawar dia RM3 sekilo, dia tak nak. Kalau RM5 sekilo baru dia nak jual. Sebab apa dia nak RM5? Sebab kalau orang tak nak, dia boleh buat pes, orang Melayu suka tempoyak.

'Kuih bulan pun ada durian'

“Tempoyak pula dulu RM8 satu bekas, sekarang RM30 hingga RM50.

"Dulu tak ada orang buat kek durian, sekarang macam-macam, kuih bulan pun ada durian,” kata Cheah yang mendapatkan bekalan dari peraihnya di Pahang.

Sementara itu, pekebun dari Sik, Kedah, Sulaiman Ibrahim, 35, turut sependapat dengan Cheah.

“Tak betul, durian mahal sebab musim buah durian kurang.

“Dulu ada durian yang boleh dijual secara longgok. Selonggok RM10 tapi sekarang durian memang tak ada jadi orang terpaksa jual timbang," katanya.

Ditanya sama ada harga itu dipengaruhi oleh amalan mengeksport durian ke China, Sulaiman meraguinya.

“Bukan sebab eksport ke China tetapi sebab durian kita memang tak cukup walaupun untuk pasaran Malaysia sendiri,” katanya.

Mengenai harga durian murah seperti RM1 sebiji, keadaan itu memang pernah berlaku, iaitu sekitar 19 tahun lepas.

“Kali terakhir harga durian RM1 sebiji adalah pada tahun 1998 hingga 1999,” kata Sulaiman.

Diminta mengulas mengenai keuntungan yang diperolehi serta jumlah kos bagi memastikan hasil buah terbaik, Sulaiman berkata ia satu jumlah yang besar.

Kos baja dan racun

“Kos baja dan racun serangga untuk kebun seluas kira-kira lima ekar kita akan peruntukkan RM10,000 hingga RM20,000,” kata Sulaiman.

Pada masa sama katanya jumlah tidak menjamin keuntunggan kerana walaupun pokok durian banyak tetapi kadang-kadang buah tidak berkualiti. Misalnya kerana busuk atau berulat.

“Jadi, tak boleh dijual dan buah itu kita buang sahaja,” tambah Sulaiman.

Begitu juga dengan peniaga, kata Sulaiman, yang kena menjual buah masing-masing dalam tempoh singkat kerana ia boleh rosak jika lebih tiga hari.

"Durian Malaysia tak tahan lama, bukan macam durian dari Thailand yang ada ubat untuk bertahan lebih dari tiga hari," katanya.

Selepas ditolak kos pengangkutan dan upah pekerja biasanya peniaga mendapat keuntungan tidak lebih sekali ganda.

Kata Sulaiman, biasanya kadar keuntungan bagi setiap kilo yang dijual adalah antara RM7 hingga RM8.

“Kalau dijual RM45 sekilo, modal biasanya RM20 dan untung RM25, tapi itu belum ditolak dengan kos sewa tapak dan pengangkutan.

"Apabila dah tolak semua, untung bersih dalam RM7 ke RM8 setiap kilo,” katanya.

Senada dengan Sulaiman ialah pekebun Loh Kar Liang, 28, dari Raub, Pahang.

Kata Loh, permintaan durian hari ini di luar jangkaan.

Menurutnya dia terpaksa berusaha memenuhi kehendak peraih bagi menyediakan enam ke tujuh bakul sehari untuk pasaran semasa.

'Hasil jualan bagus'

“Hasil jualan durian sekarang bagus, setiap hari saya kena ada enam hingga tujuh bakul,” kata Loh.

Manakala ditanya keuntungan beliau, Loh berkata dia berpuas hati.

“Sangat berbaloi,” kata Loh ringkas dan enggan memberikan jumlah keuntungan yang diperolehi.

Bagaimanapun, Loh berkata jumlah keuntungan itu setimpal dengan kos penyelenggaran kebun beliau.

“Untuk sembilan ekar tanah kebun durian RM40,000 diperuntukkan tapi hasil dia sangat bagus dan kita dapat eksport buah ke China juga,” kata Loh.

Selain China, durian sejuk beku juga berjaya menembusi pasaran Australia, New Zealand dan Taiwan.

Bagi pengeksportan durian segar, Malaysia juga mendapat laluan pasaran ke Jepun dan Korea.

Jumlah eksport ke China dijangka meningkat kerana penggunaan durian bukan setakat dimakan segar tetapi telah dipelbagaikan bagi memenuhi kehendak pasaran mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS