Paling Popular
Terkini
story images
story images

Ketua Polis Negara berkata wartawan terkemuka Mustafa Akyol tidak ditahan pihak berkuasa negara ini atas sebab keselamatan.

Kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun lelaki warga Turki terbabit sekadar ditahan seketika untuk membantu siasatan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana "mengajar agama" tanpa tauliah.

"Ramai orang salahkan polis, ia tak betul langsung.

"Operasi (menahan Mustafa) dijalankan oleh pihak berkuasa agama.

"Polis hanya membantu, itu saja. Kami bukan pihak yang berminat kepada dia," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri sambutan Hari Pahlawan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Tidak ketinggalan hadir di majlis itu Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Mustafa, 45, seorang wartawan dan penulis yang menganggap dirinya penyokong Uthmaniyah.

Dia pernah menghasilkan beberapa buku termasuk Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty serta menjadi kolumnis di akhbar New York Times pada 2013.

Dia dijemput menghadiri beberapa program di Malaysia pada 24 dan 25 Sept lalu.

Walaupun dibenarkan berucap, penganjur membatalkan slot syarahannya pada 25 Sept selepas dirundingi pegawai JAWI.

Dalam tulisannya di New York Times empat hari lalu Mustafa menceritakan bagaimana dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, dibawa ke dua balai polis sebelum tiba di pejabat JAWI.

Dia kemudian dibawa ke mahkamah syariah dan disoal siasat selama beberapa jam.

Ditanya sama ada Mustafa dianggap mengancam keselamatan Mohamad Fuzi - yang sebelum ini menjadi pengarah Cawangan Khas Bukit Aman - menjawab: "Saya tak fikir dia menjadi ancaman sangat".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS