Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq buat laporan 'ugutan dan sogokan' esok
Diterbitkan:  Oct 3, 2017 6:29 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Sehari selepas mendedahkan terdapat cubaan untuk mengugut dan menyogoknya supaya meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan membuat laporan rasmi untuk membantu siasatan pihak berkuasa.

"Saya akan berjumpa peguam saya sebelum membuat laporan esok.

"Saya akan membuat dua laporan berasingan; satu kepada polis berikutan ugutan terhadap keluarga saya dan satu lagi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tawaran sogokan," kata ketua pemuda (Armada) parti itu.

Syed Saddiq pada sidang akhbar semalam, mendakwa dirinya ditawarkan wang dan geran bernilai RM5 juta untuk menubuhkan sekolah debat di seluruh negara oleh individu yang dikaitkan dengan Jabatan Perdana Menteri.

Tawaran itu, dakwa Syed Saddiq, dibuat selepas dakwaan ugutan sebelum ini terhadap diri dan keluarganya gagal meyaksikan beliau meninggalkan BERSATU.

Beliau juga mendakwa sidang akhbar itu diadakan di sebuah hotel berkaitan Umno atas permintaan individu berkenaan, tanpa pengetahuan mana-mana pemimpin BERSATU.

Sementara itu, Syed Saddiq memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa beliau telah menghubungi Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya bercakap dengan Tan Sri (Muhyiddin) semalam dan dengan Tun (Dr Mahathir) hari ini. Mereka menyokong saya," kata Syed Saddiq yang mengakui pada awalnya terdapat spekulasi bahawa dirinya boleh ‘dibeli’.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS