Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Mahkamah Rayuan memutuskan rayuan yang difailkan Peguam Negeri Sarawak bagi pihak Dewan Undangan Negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengekalkan Dr Ting Tiong Choon sebagai anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pujut, adalah sah.

Ini di sebalik hujah peguam Ting bahawa notis itu tidak sah, kerana keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Jun tidak dibawa ke DUN supaya 82 wakil rakyat Sarawak boleh mengundi sama ada untuk merayu keputusan mahkamah tinggi.

Peguam Tan Kee Heng, yang mewakili Ting, berkata memandangan sidang DUN tidak diadakan sejak Mei lalu, adalah tidak wajar bagi setiausaha untuk memfailkan permohonan rayuan kerana beliau hanya mempunyai fungsi pentadbiran.

Namun, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Rohana Yusof memutuskan bahawa notis setiausaha itu, yang difailkan oleh pejabat Peguam NegeriSarawak bagi pihak DUN adalah sah dan permohonan Dr Ting diketepikan atas alasan ia telah cacat.

"Kami berpandangan, mengenai fakta dan keadaan kes itu, rayuan yang dibuat Peguam Negeri mewakili Dewan Undangan negeri adalah kompeten," kata Hakim Datuk Rohana Yusuf yang mempengerusikan panel itu.

Turut bersidang Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Suraya Othman.

Kes itu dibawa kepada Pendaftar Mahkamah hari ini yang kemudiannya menetapkan 26 Okt bagi pendengaran rayuan. Mahkamah rayuan akan bersidang mengenai perkara itu di Kuching, Sarawak.

Sementara itu, mahkamah yang sama juga menolak permohonan Dr Ting untuk mengetepikan notis rayuan yang difailkan Speaker, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Peguam Dr Ting, Tan Kee Heng berhujah notis rayuan yang dibuat Peguam Negeri Sarawak bagi pihak Dewan Negeri itu adalah cacat kerana Peguam Negeri tidak mempunyai kuasa untuk memfailkan rayuan itu, untuk bertindak dan membuat keputusan untuk Dewan Negeri.

Beliau berkata arahan Setiausaha Dewan kepada Peguam Negeri Sarawak untuk memfailkan rayuan itu adalah tidak sah dan tidak berkesan mengikut undang-undang.

Tan berkata ia perlu diputuskan 82 anggota Dewan Undangan Negeri sama ada Dewan Undangan Negeri harus memfailkan rayuan itu namun Dewan Undangan Negeri tidak bersidang untuk mendengar dan membahaskan dapatan Mahkamah Tinggi dan memutuskan sama ada untuk membuat rayuan.

Katanya Dewan Undangan Negeri dan Peguam Negeri adalah entiti berasingan kerana Peguam Negeri adalah anggota eksekutif dan tidak boleh mewakili badan perundangan kerajaan.

Timbalan Peguam Negeri Sarawak Saferi Ali berkata Dewan Undangan Negeri berhak untuk memfailkan notis rayuan kerana ia telah terjejas dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata Peguam Negeri yang bertanggungjajwab menjaga kepentingan Dewan, perlu masuk campur bagi mempertahankan Dewan Negeri.

Rayuan yang difailkan Peguam Negeri tidak cacat, kata Saferi.

Pada 12 Mei, Dewan Undangan Negeri Sarawak memutuskan dengan undi majoriti, untuk melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut kerana didakwa memiliki kewarganegaraan Australia dan Malaysia.

Dr Ting, 52, memfailkan saman pemula bagi mencabar perlucutan kelayakannya dan pada 17 Jun tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching membenarkan tuntutannya dan mengembalikannya sebagai ADUN Pujut.

Speaker, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh, Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Suruhanjaya Pilihan Raya dinamakan sebagai responden.

Di luar mahkamah, peguam bela Chong Siew Chiang yang mewakili Dr Ting berkata pasukan peguamnya akan mendapatkan arahan daripada Dr Ting sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Dengan keputusan hari ini, hakim menetapkan 26 Oktober untuk mendengar rayuan di Mahkamah Rayuan di Kuching.

Sidang DUN Sarawak dijadual bersambung pada 8 November ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS