Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu roboh kuarters masjid: S'gor tawar PPR
Diterbitkan:  Oct 4, 2017 6:28 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Kerajaan negeri Selangor akan menempatkan dua buah keluarga yang terlibat dalam perobohan beberapa rumah dan kedai di perkarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang, Selangor, hari ini di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Damansara.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, keputusan itu dibuat susulan selepas perbincangan kerajaan negeri dengan syarikat Perumahan & Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB).

“Saya juga telah meminta Pegawai Daerah Petaling untuk bekerjasama dengan PHSSB bagi menguruskan perpindahan kedua-dua keluarga ini ke kediaman yang ditawarkan dengan segera.

“Untuk maksud itu, kerajaan negeri bersetuju untuk membiayai kos sewa unit-unit kediaman tersebut bagi tempoh enam bulan sebelum unit-unit ini ditawarkan kepada dua keluarga berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pagi tadi, seramai sembilan ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan selepas mengadakan protes terhadap perobohan tiga rumah dan dua kedai dirobohkan dalam tindakan penguatkuasaan oleh Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB).

Rumah dan kedai tersebut sebelum ini didiami bekas ahli jawatankuasa Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, dan tindakan merobohkannya dijalankan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.

“Usaha ini selaras dengan dasar kerajaan negeri yang peduli rakyat dan tuntas membela kebajikan rakyat.

“Kerajaan negeri berharap kedua-dua keluarga yang terlibat mendapat kediaman yang selesa dan kondusif untuk kehidupan yang lebih sempurna,” katanya.

Sebelum ini, pada Mac lalu, adalah dilaporkan dua bekas ahli jawatankuasa masjid itu pernah menghantar memorandum kepada Azmin untuk menggesa beliau tidak membenarkan MAHB selaku syarikat swasta menggunakan pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Petaling bagi tujuan perobohan.

Ketika itu, turut dilaporkan bahawa kedua-dua mereka yang menjadi ahli jawatankuasa masjid selama lebih dua dekad telah diarahkan untuk mengosongkan kediaman mereka tanpa pampasan yang wajar daripada MAHB.
 

Lihat Komen
ADS