Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Keperluan perundangan sukarkan pemberi maklumat

Banyak keperluan perundangan menyukarkan pemberi maklumat untuk melaporkan mengenai pengubahan wang haram, demikian menurut peguam Selvamalar Alagaratnam.

"Sangat sukar bagi seseorang yang tahu tentang perbuatan disyaki pengubahan wang haram untuk kadang-kadang melakukan perkara yang betul kerana anda mempunyai halangan perundangan yang membuat seseorang tertanya-tanya sama ada dia perlu melaporkannya atau memberi tahu seseorang mengenainya, kata Selvamalar dalam satu persidangan di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata ini termasuk Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, (FSA), yang menghalang perkongsian maklumat perbankan dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2012 (PDPA), yang menghalang perkongsian maklumat.

Di samping itu, terdapat juga Akta Rahsia Rasmi 1972, yang katanya telah digunakan untuk mendakwa pemberi maklumat.

Walaupun Malaysia juga mempunyai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk melindungi mereka, tetapi apabila diteliti ia mendedahkan bahawa ini hanya terpakai kepada pemberi maklumat yang melaporkan jenayah yang disyaki kepada pihak pengawalselia kerajaan dan bukan pihak lain.

"Jadi, jika anda memberitahu seorang peguam kerana anda tahu peguam itu akan melakukan perkara yang betul - bukannya peguam itu sentiasa melakukan perkara yang betul, tetapi kita mengharapkan dia akan berbuat demikian - atau jika anda beritahu pihak akhbar kerana itu perkara paling biasa, anda mahu akhbar itu mendedahkannya... apabila anda melakukan sesuatu seperti itu, anda tidak dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat (Perlindungan)," kata Selvamalar (gambar).

Halangan-halangan lain termasuk penggunaan Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menekan pihak media, dan kebimbangan bahawa pihak pengawalselia tidak bebas dan sebaliknya berkait dengan orang yang terdedah kepada politik (PEPs).

Selvamalar bercakap sebagai panelis dalam sesi pleno di Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan, yang bertajuk ‘PEPs Spotlight: Kleptocracy and International Money Laundering’.

PEPs umumnya merujuk kepada ahli politik dan pegawai awam kanan, termasuk eksekutif kanan perbadanan milik krajaan, serta sekutu dan anggota keluarga mereka.

Peraturan kewangan di banyak bidang penguatkuasaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia, memerlukan institusi kewangan untuk mengenal pasti orang seperti itu di kalangan pelanggan mereka dan tertakluk kepada pengawasan tambahan untuk menghalang pengubahan wang haram.

Institusi kewangan mungkin, sebagai contoh, memerlukan dokumentasi tambahan

Seorang lagi panelis, ketua bahagian risiko pelanggan (Asia) di Thompson Reuters, BC Tan, berkata terdapat kira-kira 1,320 'PEPs utama' di Malaysia, yang bermaksud pemegang jawatan itu sendiri.

Bagaimanapun, secara purata, masing-masing mempunyai 4.3 ahli keluarga terdekat, 6.5 ahli keluarga lanjutan dan 8.6 kawan rapat, kata Tan, yang menurutnya mungkin layak sebagai PEPs sekunder. Jumlah PEPs ialah sekitar 42,000.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS