Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar membidas keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang menwarkan dua unit kediaman di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Damansara kepada dua keluarga yang rumah dan kedai mereka dirobohkan semalam.

Katanya, perobohan tiga rumah dan dua kedai di perkarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang, Selangor itu boleh dihalang dengan hanya satu panggilan telefon.

“Dia (Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali) yang sepatutnya hentikan tindakan itu sebab dia ialah pemimpin dan dia hanya perlu buat satu panggilan.

“Patutnya sebagai menteri besar buat panggilan minta hentikan, kemudian kita selesaikan rumah dulu.

“Bukannya mereka baru duduk di situ, dah bertahun,” kata Noh pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah ke-20 di Subang Jaya, hari ini.

Pada kejadian semalam, seramai sembilan ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan selepas mengadakan protes terhadap perobohan berkenaan dalam tindakan penguatkuasaan oleh Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB).

Rumah dan kedai tersebut sebelum ini didiami bekas ahli jawatankuasa Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, dan tindakan merobohkannya dijalankan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.

Azmin zalim, kata Noh

Azmin dalam kenyataannya semalam, berkata kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk membiayai kos sewa unit-unit kediaman tersebut bagi tempoh enam bulan sebelum unit-unit berkenaan kemudiannya ditawarkan kepada dua keluarga berkenaan.

Mengulas lanjut, Noh berkata tindakan Azmin itu juga disifatkan sebagai zalim.

Katanya, menteri besar, sepatutnya menyelesaikan isu penempatan dahulu sebelum mengarahkan perobohan.

"Itu tindakan zalim. Janganlah runtuh. Kita ada cara selesaikan masalah.

"Saya dah rayu beri peluang paling lama pun sebulan.. Kalau tidak ada rumah kita boleh tawar rumah PPR di Subang 2.

"Kita dah buat rayuan. Tiba-tiba dah roboh. Ini tindakan tak patut. Orang tawar dulu (rumah) baru roboh," kata Noh.

Kata Noh, perkara tersebut boleh diselesaikan dengan hanya kuasa yang ada pada Azmin.

"Macam saya juga bila siasat sekolah tahfiz tak lengkap, kalau ikut undang-undang kita boleh tutup. Tetapi tidak, sebab kita boleh bincang,” katanya.

'Mana saya tahu'

Sementara itu, Noh menafikan spekulasi yang mendakwa beliau mengetahui tentang beberapa wakil rakyat negeri itu akan melompat parti untuk bersamanya menyertai Umno.

“Kalau dia (Tan Sri Muhammad Muhammad Taib) tak tahu macam mana saya nak tahu,” kata Noh ringkas ketika diminta mengulas apakah beliau mengetahui rancangan tersebut.

Muhammad pada 2 Oktober lalu menegaskan beliau tidak pernah merancang membawa sesiapa termasuk wakil rakyat Selangor untuk bersamanya menyertai Umno.

Sebaliknya bekas menteri besar Selangor itu mendakwa khabar angin berkenaan disebarkan oleh pihak ketiga iaitu "spin master" (pakar putar-belit maklumat).

Muhammad adalah pemimpin veteran yang pernah menjadi naib presiden Umno pada 1993.

Beliau kemudian menyertai PAS pada 2013 dan sekali lagi melompat pada 2015 untuk bersama PKR sebelum mengumumkan kembali kepada Umno pada 17 Sept lalu.

 

Lihat Komen
ADS