Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Tiada apa yang mengejutkan dengan reaksi sesetengah pihak terhadap wacana pembaharuan Islam anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) baru-baru ini.

Daripada gangguan terhadap pembentangan pemikir Islam Indonesia, sehinggalah kepada penahanan sarjana Turki Mustafa Akyol yang disusuli dengan pengharaman bukunya, Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty dan terjemahan bahasa Melayunya.

Ternyata masyarakat masih diselimuti kabut ortodoks. Dan ia tidak dibantu dengan kawalan oleh autoriti agama. Wacana agama diurus dan ‘dilurus’ oleh institusi yang berkuasa. Usaha membebaskan teks al-Quran dari belenggu tafsiran eksklusif dilihat seperti cuba merosakkan kesucian al-Quran. Inilah  mazhab agama sebenar di Malaysia.

Walhal pemikiran kritis adalah penting bagi meletakkan semula teks ke dalam konteks dan perkembangan zaman. Ia usaha murni dalam menemukan makna agama; yang dibangunkan melalui nilai kepercayaan yang tidak terasing dari norma budaya, sosial dan kemanusiaan.

Jangankan orang awam, agamawan kita yang memiliki imej progresif pun sulit menerima perkara ini. Lihat saja mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang tampak tidak senang duduk hingga mengganggu pembentangan Dr Munim Sirry tempoh hari.

Ketika itu, Dr Asri barangkali lupa betapa Islam berkembang melalui medan perbahasan yang sengit suatu masa dahulu. Ia perkara biasa bagi sarjana Islam zaman-berzaman.

Sudahlah disemakkan dengan mufti yang mengawal, kita juga ketandusan agamawan yang jujur untuk melawan proses pembodohan. Yang ada hanya agamawan acah-acah progresif, berselindung di sebalik ungkapan kebebasan.

Prinsip kebebasan dan semangat tokoh reformis seperti Abd al-Rahman al-Kawakibi yang diratib kelompok usrah hanya tinggal dalam sesi usrah. Praktisnya tiada. Tidak hairan apabila rejim agama mudah meneruskan aksi menyekat wacana pembaharuan.

Label sesat, cop kafir

Selain dibebani mazhab penguasa dan agamawan, masyarakat Melayu muslim juga cepat melatah dan mudah tersinggung. Apatah lagi apabila berhadapan diskusi yang asing dalam budaya intelektual mereka.

Berjumpa sahaja dengan sesuatu yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam yang difahami mereka, keributan berlaku dan label ‘sesat’ dihamburkan.

Tafsiran kitab suci seperti sudah muktamad, tidak boleh dibincangkan lagi. Cop ‘kafir’ ditampal kepada mereka yang cuba mengupas tafsiran al-Quran.

Gejala ini menonjolkan sikap ortodoks umat Islam terhadap al-Quran.

Persoalannya, apakah kita berasa cukup sekadar memahami tafsiran sedia ada sekian abad lamanya? Mengikut pengkaji dari Mesir, Nasr Abu Zayd dalam karyanya Divine Attributes in the Quran, inti teks hari ini banyak ditunggangi makna yang tidak dinamik. Tambahan pula, ia dikawal oleh badan autoriti yang kononnya menjaga kesempurnaan al-Quran.

Mereka berlagak sebagai penjaga kitab suci kita dan menganggap tafsiran yang diadun dengan kajian sejarah dan budaya merosakkan kewibawaan ulama silam. Bagi mereka, kewibawaan pandangan ulama silam tidak harus dipersoal.

Ironinya, ketika mendekati al-Quran, kita bakal bertemu berbagai-bagai kemungkinan makna apabila semakin mendekati al-Quran. Pemikir Islam Syria Muhammad Syahrur memanggilnya sebagai ‘possible meaning’ - kemungkinan makna.

Kepelbagaian dan kesulitan menemukan kata muktamad inilah yang sering muncul sehingga menjadikan pemaknaan teks tidak bersifat eksklusif. Kontradiksi dan polemik dalam ayat al-Quran harus dihurai demi keaslian maknanya.

Malangnya diskusi pemahaman semula ayat-ayat al-Quran tidak mudah diadakan. Sering berlaku salah faham dan tentangan daripada golongan ortodoks. Mengkaji dan menghurai tafsiran yang selaras dengan semangat zaman disifatkan menghina al-Quran.

Mereka lupa, atau tidak tahu, yang semangat intelektual pada tradisi Islam yang menimbulkan pertanyaan, dan mengembangkan bacaan baru sehingga al-Quran berupaya menawarkan jalan penyelesaian yang komprehensif.

Quran dan bahasa

Namun usaha mengangkat kajian al-Quran yang lebih terbuka pasti ada batasannya. Masalah bermula akibat kegagalan sebahagian kita untuk memahami konteks sejarah polemik, atau asbab penurunan teks. Kegagalan ini disebabkan keterbatasan sendiri - tidak memahami bahasa agama dalam setiap polemik berkaitan al-Quran.

Misalnya hubungan antara agama Islam, Yahudi dan Kristian, dan usaha untuk membongkar hikmah dan kebenaran peristiwa seputar perkara itu. Islam terhasil dan al-Quran diturunkan daripada interaksi peristiwa.

Perkara ini tidak mudah jika dari awal lagi kita menganggap Islam lahir daripada penyempurnaan ajaran Nabi Muhammad tanpa mengambil kira pergeseran peristiwa terdahulu.

Ahli falsafah Jerman Martin Heidegger ada menyebut "language is the house of beings". Katanya, bahasa bukan sekadar bentuk ucapan, tetapi turut mencakupi perasaan, emosi dan cara berfikir suatu budaya.

Beliau juga berkata, nilai kemanusiaan tersimpan dalam bahasa. Sebagaimana bahasa sering hadir dalam masa dan perbuatan, agama juga memberi nafas untuk setiap perbuatan manusia meskipun tahap beragama berbeza bagi setiap orang.

Mustahil interaksi agama berlaku secara terasing daripada makna teks al-Quran.

Tercabut topeng progresif

Justeru, tidak mudah untuk memahami dan membaca inti pati al-Quran. Atas kesulitan inilah, perlunya tafsiran dengan pembacaan baru. Jika kita tidak menanggapi perbezaan dan perkembangan pembacaan baru dalam tafsir al-Quran, ia bakal menyulitkan kita. Maka akan berulanglah kejadian yang menimpa Mustafa Akyol.

Barangkali perkara yang dibahas agak asing dalam wacana ilmu masyarakat muslim di Malaysia. Namun itu tidak bermaksud kita harus melatah ketika menanggapinya. Walhal, diskusi itu menampilkan kritikan dan pembacaan baru untuk hal yang sudah lama dibahas dalam kajian al-Quran.

Sikap mendabik dada atas kebenaran menjadi tembok penghalang kepada kajian terhadap al-Quran. Sikap ini menjadi punca sebahagian individu berpegang pada makna teks yang kaku dan hanya mengikut tafsiran ulama tertentu.

Akibat menganggap diri sebagai pembela agama atau memaksumkan ulama terdahulu, kajian ke atas pembacaan al-Quran berdepan rintangan hebat.

Akuilah, ramai antara kita berpura-pura bersikap terbuka dan meraikan perbezaan apabila mendepani wacana Islam. Mufti Perlis yang selama ini digembar-gembur sebagai seorang progresif dan terbuka sekalipun sebenarnya tidak benar-benar berlapang dada. Apabila isu tertentu dibincang, beliau kembali terjun ke lubuk ortodoks.

Ternyata, ramai agamawan di Malaysia bertopengkan istilah progresif. Topeng ini lambat laun akan terlondeh apabila berlaku kontroversi. Sikap agamawan yang sukar merai perbezaan, walaupun dalam kerangka akademik, diburukkan lagi dengan pemerintah yang keras lagi gasar.

Betapa malangnya kita berada dalam kelompok dominasi ortodoks muslim. Perkembangan zaman memecut laju, pemikiran kita kian terkebelakang; mengundur kepada era kemunduran peradaban. Inilah realiti pahit yang terpaksa kita telan.


MOHD SHAZREEN ABDULLAH adalah bekas penuntut pengajian syariah di Universiti Yarmouk, Jordan dan penulis buku 'Bercakap Dengan Quran'.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

Lihat Komen
ADS