Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Naib presiden WARISAN belum dibuktikan bersalah

Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap salah seorang pemimpinnya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dari pihak parti mereka akan memberikan kerjasama penuh dan tidak perlu takut kepada undang-undang.

Pada masa sama WARISAN juga akan memberikan bantuan sewajarnya kepada Datuk Peter Anthony yang ditahan SPRM semalam.

"Kami akan bela, akan bantu mengikut undang-undang yang ada.

"Kita akan patuhi undang-undang negara, jangan takut patuhi undang-undang," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah hari ini.

Kepulangan Mohd Shafie disambut ratusan orang dengan kebanyakannya adalah penyokong WARISAN.

Sebelum mengetuai parti itu Mohd Shafie ialah naib presiden Umno yang kemudian digantung keahliannya kerana tidak sehaluan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau kemudian menubuhkan WARISAN sebagai sebuah parti tempatan berpangkalan di Sabah dan menjadi persiapan menghadapi BN dalam pilihan raya.

Semalam media melaporkan Anthony - yang dianggap sekutu rapat Mohd Shafie - ditahan SPRM selepas hadir ke pejabat agensi terbabit untuk memberi keterangan.

Sehari sebelum itu SPRM membuat beberapa serbuan di Sabah dan merampas wang tunai kira-kira RM150 juta yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti menggelapkan wang kerajaan melalui projek pembangunan yang tidak dilaksanakan.

Bermula hari ini

Projek itu didakwa diperoleh melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Mohd Shafie pernah dilantik menjadi menteri di kementerian berkenaan.

SPRM dijadual mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menahan reman Anthony hari ini.

Ditanya sama ada WARISAN masih yakin kepada Anthony, Mohd Shafie berkata seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehinggalah ia dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.

"Tapi saya tak mahu bercakap lanjut mengenai hal ini kerana siasatan masih dijalankan. Biarkan proses itu berjalan dulu," katanya.

Sementara itu seorang pemimpin WARISAN Beaufort, Johair Matlani (gambar), berkata dia melihat penahanan Anthony dari sudut positif.

Kata timbalan penyelaras WARISAN Beaufort itu berkata kebiasaannya pembangkang akan menjadi lebih kuat dan bersemangat apabila ditekan.

"Kesan memang ada sedikit tapi yang lebih banyak ialah menguntungkan parti apabila ada pemimpin ditekan begini," katanya.

Sebagai bukti, Johair berkata, jumlah orang yang datang menyambut Mohd Shafie hari ini jauh lebih ramai berbanding sebelum ini.

Mengaku akan turun datang ke Kota Kinabalu untuk menyambut Mohd Shafie jika tidak sibuk, bekas anggota Umno itu memberitahu biasanya kepulangan pemimpin mereka itu akan diraikan kira-kira 20 atau 30 orang saja.

Namun katanya keadaan hari ini adalah berbeza.

"Saya lihat hampir semua bahagian yang berhampiran datang menyatakan sokongan.

"Simpati mereka kepada masalah yang dihadapi WARISAN meningkat mulai hari ini," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS