Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pecah botol arak: Jamal, 7 pekerja direman tiga hari
Diterbitkan:  Oct 6, 2017 3:32 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos dan tujuh pekerjanya yang ditahan awal pagi tadi direman tiga hari bermula hari ini susulan tindakan memecahkan botol arak di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di Shah Alam semalam.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret P. Sarulatha mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai satu perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku yang dilakukan oleh peserta perhimpunan.

Peguam Khairul Anuar Kashim yang mewakili kesemua suspek ketika ditemui pemberita berkata pekerja-pekerja Jamal yang ditahan terdiri daripada pemandu dan pengawal peribadinya.

Beliau berkata ketika ditahan di sebuah restoran di Sekinchan, Sabak Bernam kesemua anak guamnya memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan awal pagi tadi mengesahkan Jamal dan tujuh yang lain ditahan kira-kira pukul 1.45 pagi.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam, Jamal dan anggota gabungan itu bertindak memecahkan kira-kira 100 botol minuman keras di hadapan pintu masuk utama bangunan SUK, sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjuran pesta arak di negeri itu.

Tindakan itu susulan kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan berkata penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan asalkan telah menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh polis serta Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Pada Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan penganjuran pesta itu ekoran wujud ancaman militan berkaitan acara berkenaan dan menasihatkan MPK untuk tidak membenarkan penganjuran acara itu.

Yang Dipertua MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin pula mengakui pihaknya menangguhkan kelulusan permit sementara penganjuran pesta itu berikutan kegagalan penganjur mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan antaranya kebenaran daripada pihak polis.

- Bernama

Lihat Komen
ADS