Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Bendera, lagu Umno di sekolah bukan politik - Mahdzir
Diterbitkan:  Oct 6, 2017 3:39 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Isu bendera dikibarkan dan lagu Umno berkumandang di Sekolah Kebangsaan Presint 14, Putrajaya pada Selasa tidak bersifat politik dan bukan sesuatu yang luar biasa, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata elemen itu adalah antara aktiviti bersempena sambutan Hari Kebangsaan negara, yang dirancang pihak sekolah untuk menerangkan tentang perjalanan negara dalam memperoleh kemerdekaan.

"Negara kita merdeka hasil perjuangan Umno dengan dibantu oleh MCA dan MIC. Ini dapat dilihat apabila Tunku Abdul Rahman yang pada ketika itu memegang jawatan presiden Umno pergi ke London untuk memperoleh kemerdekaan negara," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih di Padang Terap hari ini.

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas pelajar-pelajar sekolah itu yang menyanyikan lagu Umno dan mengibarkan bendera parti pada majlis anjuran sekolah berkenaan.

Menurutnya parti pembangkang yang menjadikan perkara itu sebagai isu politik boleh berkata apa sahaja kerana pada dasarnya mereka sendiri sedar bahawa Umno, MCA dan MIC merupakan penyumbang kepada kemerdekaan negara.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata cadangan untuk membuka sekolah atau kelas khas peralihan kepada pelajar-pelajar bermasalah tidak perlu dilakukan kerana tindakan dibuang dari sekolah seperti yang yang dipraktikan masih relevan.

"Kita tidak perlu buka sekolah untuk kumpulkan pelajar-pelajar bermasalah. Tindakan buang sekolah ini juga masih relevan untuk diguna pakai terhadap pelajar yang mempunyai masalah disiplin tetapi bukanlah boleh main buang sekolah begitu sahaja,”katanya.

Mahdzir menjelaskan amaran akan diberikan terlebih dahulu kepada pelajar berkenaan dan sekiranya dia masih melakukan kesalahan, pihak sekolah akan memanggil ibu bapa pelajar itu untuk berbincang bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Jika perlu, tindakan buang sekolah itu akan diambil sebagai langkah terakhir," katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS