Laluan Penarikan yang antara lain menjadi laluan legenda Laksamana Melaka, Hang Tuah menyunting Tun Teja di Pahang mampu memberi impak kepada sektor pelancongan empat negeri iaitu Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor apabila ia dimajukan menjadi produk pelancongan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Naim Abu Bakar berkata justeru laluan kira-kira 500 kilometer itu perlu dipelihara dan dinaik taraf bagi memastikan ia mampu berfungsi secara berkesan sebagai produk pelancongan yang menarik kedatangan pelancong ke negeri-negeri itu.
"Usaha ini selain memberi impak besar kepada sektor pelancongan, sekali gus memberi pendedahan kepada generasi muda tentang kepentingan laluan itu suatu masa dahulu ," katanya kepada pemberita di Melaka semalam.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron menyambut kira-kira 120 peserta Ekspedisi Laluan Penarikan dalam Tamadun Awal Melayu itu di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka, Bandar Hilir di sini yang berlangsung selama lima hari dan berakhir semalam.
Turut hadir Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin, Pengurus Besar IKSEP, Datuk Dr Aziz Ujang dan Timbalan Exco Pembangunan Belia dan Warisan Melaka, Datuk Norpipah Abdol.
Laluan Penarikan adalah jalan menghubungkan pantai Barat dan Timur Semenanjung Malaysia, yang mana selain digunakan Hang Tuah ketika membawa Tun Teja ke Melaka, laluan itu turut menjadi laluan pembesar, pahlawan, pedagang dan pendakwah khususnya bagi perjalanan antara Melaka dan Pahang.
Sementara itu, dua individu yang melakonkan watak Hang Tuah dan Tun Teja dalam ekspedisi itu iaitu Pangiran Nurdian Syah Zainal Abidin, 31, dan Murni Safinaz Abu Salim, 28, nyata teruja dengan pengalaman yang diperolehi mereka pada ekspedisi tersebut.
Pangiran Nurdian Shah yang juga seorang Guru Silat Gayung Makrifat berkata dalam menjayakan watak Hang Tuah, beliau perlu menyelami jati diri pahlawan Melayu itu melalui pembacaan karya sejarah selain perlu mendapatkan aura pahlawan legenda Melayu berkenaan.
"Selain itu, saya berpeluang melihat dan merasai sendiri pengalaman orang terdahulu yang menggunakan jalan ini dengan menyusuri sungai dan daratan di empat buah negeri selama lima hari empat malam," katanya.
Murni Safinaz yang bertugas sebagai penyampai radio Melaka FM mengakui menjayakan watak itu bukanlah satu tugas yang mudah, malah terpaksa mengambil masa selama dua minggu untuk mengkaji dan menjiwai watak Tun Teja daripada segi percakapan dan gerak gerinya.
"Saya banyak membaca buku-buku berunsur sejarah yang menceritakan sejarah kehidupan Tun Teja selain menonton filem Melayu termasuk filem lakonan legenda Tan Sri P Ramlee, Hang Tuah. Tun Teja seorang yang lemah lembut dan manis senyumannya, tegas dan tidak mudah untuk jatuh cinta namun bila mengenali Hang Tuah hatinya mudah terpaut," katanya.
- Bernama
