Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir lidah bercabang
Diterbitkan:  Oct 7, 2017 7:20 PM
Dikemaskini: 11:37 AM

ULASAN I Tun Mahathir Mohamad dalam artikel terbarunya bertarikh 5 Oktober membuat beberapa penjelasan kenapa dia dan DAP kini menjadi kekasih yang intim.

Dulu dia mempersetankan DAP. Kini dia mendakwa berkawan dengan DAP kerana DAP sebenarnya bukan syaitan.

Tunku Abdul Rahman dilihat berbaik dengan DAP kerana dia menyokong Semangat 46 yang kebetulan berpakat dengan DAP. Dia menyokong S46 kerana usaha menubuhkan Umno Malaysia gagal.

Tetapi dia tidak memegang jawatan rasmi dalam Semangat 46 atau Barisan Alternatif. Dia tidak pun hadir dalam persidangan DAP atau muncul di pejabat DAP.

Sokongannya kepada Semangat 46 semata-mata untuk memulihkan Umno ke landasan asal menggantikan Umno yang diharamkan.

Mengenai Ustaz Hadi, kini dia sudah pun meninggalkan Pakatan Rakyat kerana pengalaman buruk ketika sama-sama berkongsi kuasa di Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Bahkan dalam ucapannya di Muktamar PAS 2017, Ustaz Hadi mendakwa DAP tidak menghormati perlembagaan persekutuan termasuk dalam perkara Islam sebagai agama persekutuan, hak Istimewa orang Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu.

Tengku Razaleigh pula akhirnya membubarkan parti Semangat 46 dan kembali menyertai Umno setelah melihat perjuangannya bersama DAP adalah sia-sia.

Malaysian Malaysia

Sepatutnya Tun M melihat dari sudut pengalaman pahit kedua-dua pemimpin berkenaan bila berkawan dengan DAP.

Tun M menafikan dia mengkhianati orang Melayu semata-mata dia menjadikan DAP sebagai rakan untuk menjatuhkan Umno. Soalnya ialah, apakah DAP secara terbuka sudah menggugurkan perjuangan Malaysian Malaysia?

Bukankah matlamat dasar itu ialah menjadikan Malaysia sebagai negara republik yang menolak sistem raja berpelembagaan. Apa akan jadi kepada hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan kerana DAP memperjuangkan kesamarataan bukannya kesaksamaan seperti yang dipersetujui dalam sosial kontrak.

Tun M sewajarnya mendesak DAP supaya secara terbuka mengugurkan perjuangan Malaysian Malaysia.

Mahu jatuhkan Najib

Tun M mendakwa perjuangan politiknya menjadi sama dengan Lim Kit Siang kerana mereka sepakat mahu menjatuhkan Najib.

Itu alasan yang tidak relevan.

DAP memperjuangkan Malaysian Malaysia sedangkan Tun M mempunyai agenda peribadi kerana mahu anaknya Mukriz menjadi Perdana Menteri.

Menjatuhkan Najib dan BN hanyalah keuntungan jangka pendek. Jika menang kelak agenda masing masing akan timbul. Ketika itulah mereka akan bergaduh sesama sendiri.

dap national congress 041216 lim kit siang mahathir 2Menurut Tun M, kepimpinan DAP adalah berbilang kaum dan oleh itu ia bukan parti rasis. Apakah Tun M baru menyedarinya? Bukankah itu sudah berlaku ketika dia menjadi Perdana Menteri lagi dan ketika itu dia tetap mengatakan DAP adalah rasis.

Tunku Aziz Tunku Ibrahim dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP Kebangsaan. Tetapi dalam tempoh yang singkat dia meninggalkan parti tersebut. Kenapa? Memang benar dalam DAP ada wakil rakyat Melayu seperti ahli Parlimen Raub. Tetapi mereka hanyalah boneka yang tidak berani bersuara dan tidak ada kuasa.

Itu bukan isunya. Tetapi dengan jumlah kerusi yang banyak maka DAP akan lebih dominan seperti mana mereka amat berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor. Siapa pun yang menjadi Perdana Menteri atau Menteri Besar, mereka tetap menjadi  boneka DAP.

Bahasa Melayu

Menurut Tun M, DAP amat menghormati Bahasa Melayu. Justeru ia bukan parti rasis.

Persidangan parti DAP menggunakan Bahasa Melayu berbanding persidangan MCA. Apakah itu kayu ukur yang tepat.

Bagaimana dengan Singapura? Lagu kebangsaan mereka dalam Bahasa Melayu. Tetapi Tun M pernah menuduh Melayu Singapura dipinggirkan.

Apabila Tun M memperkenalkan dasar PPSMI, DAP lah penentang kuat perlaksanaannya di SJKC.

Justeru penjelasan Tun M mengenai DAP hanyalah kerana dia memiliki "lidah bercabang".


MOHD PUAD ZARKASHI adalah anggota Majlis Tertinggi Umno dan memegang jawatan sebagai ketua pengarah, badan propaganda kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS