Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Azizah tak minat 'cipta sejarah' di P Pinang

Walaupun ia bakal mencatat sejarah negara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berminat menjadi wanita pertama dilantik sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Menurut presiden PKR itu berkata tidak ada isu untuk mengatakan beliau akan melakar sejarah sebagai wanita Melayu yang menjadi pemimpin kerajaan di negeri itu.

"Adakah saya belum cukup mencipta sejarah?

"Saya dah jadi wanita yang dilantik sebagai presiden parti, wanita pertama sebagai ketua pembangkang - semua ini mencatat sejarah.

"Jadi mengapa saya nak jadi ketua menteri Pulau Pinang?" katanya semasa berceramah di Penanti, Seberang Perai Tengah semalam.

Anggota parlimen Permatang Pauh itu menyertai program mempromosi himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi yang dijadual diadakan di Padang Timur Petaling Jaya 14 Okt ini.

Sudah disebut 27 tahun lalu

Idea mengenai pelantikan orang Melayu sebagai ketua menteri Pulau Pinang dibincangkan baru-baru ini dan menjadi perhatian kerana sejak merdeka negeri itu dipimpin tokoh berbangsa Cina.

Turut menjadi hujah ialah janji Pakatan Rakyat dalam manifesto gabungan itu menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-12 pada 2008 yang mahu mengehadkan jawatan ketua menteri kepada dua penggal saja.

Ketika Pulau Pinang ditadbir BN isu berkenaan turut dibincangkan terutama selepas pilihan raya umum 1990. Ketika itu jumlah bilangan kerusi dimenangi Umno lebih tinggi, iaitu 12, berbanding Gerakan (sembilan). DAP pula menguasai 14 kerusi.

Bagaimanapun jawatan ketua menteri kekal dimiliki Gerakan dan Tan Sr Dr Koh Tsu Koon mengisi jawatan berkenaan sekali lagi.

Sebelum nama Dr Wan Azizah dipetik untuk menjadi ketua menteri isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga pernah diatur sebagai menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim melalui pilihan raya kecil Kajang pada 2014.

Namun usaha itu tidak berjalan lancar atas beberapa faktor, termasuk pendirian PAS serta situasi dalaman PKR sendiri.

Kata Dr Wan Azizah ketika ini Pulau Pinang ditadbir dengan baik dan tidak ada sebab mengapa keadaan itu perlu diubah.

"Mengapa kita nak kacau dia?" katanya yang berkongsi pentas ceramah dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Dr Wan Azizah menjelaskan seseorang tidak sepatutnya melakukan sesuatu hanya untuk mencipta sejarah atau meletakkan nama dalam buku sejarah.

"Apabila orang menyertai sesuatu perjuangan atau berkhidmat kepada rakyat mereka mesti melakukannya untuk seluruh rakyat Malaysia dan menyumbang kepada negara bersama-sama.

"Tidak ada keperluan untuk kita berkata bahawa kita adalah yang pertama untuk itu atau ini walaupun kadang-kadang kita rasa hebat juga untuk menjadi yang pertama, tapi itu bukan keutamaan atau tujuan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS