Juadah laksa dan laksam Kelantan yang tersedia di atas meja tamu kelihatan begitu ramah menyambut kehadiran tetamu di rumah keluarga arwah Mohamad Daniel Md Amin di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, hari ini.
Mohamad Daniel merupakan salah seorang daripada 23 mangsa yang terkorban dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah di Kuala Lumpur, 15 September lalu.
Sejak tragedi itu, pelbagai usaha dilakukan oleh banyak pihak untuk meningkatkan tahap keselematan di sekolah tahfiz serta membantu pihak yang terbabit.
Rombongan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang diketuai pegawai eksekutifnya Datuk Wan Munadi Wan Mamat disambut dengan mesra oleh ibu Mohamad Daniel, Surianty Mohamed.
Walaupun masih dibaluti kesedihan dengan kehilangan anak sulungnya itu, Surianty, 39, kelihatan tenang.
"Saya sudah maafkan mereka (suspek), ini adalah takdir.
"Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan setimpal terhadap pelaku," katanya sambil memeluk anak bongsunya, Mohamad Salahuddin Al-Ayubi yang berusia enam tahun.
Pada 15 September lalu, Malaysiakini melaporkan jenazah Mohamad Daniel bersama-sama 10 mangsa yang lain dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Taman Batu Muda, Kuala Lumpur, jauh dari keluarganya di Pantai Timur.
Kini, hanya gambar dan pakaian arwah yang menjadi pengubat Surianty dan keluarga.
"Arwah pernah berpesan kepada adiknya agar sentiasa menjaga dan memakai kopiahnya yang ditinggalkan di kampung," katanya.
Sementara itu, Wan Munadi berkata ziarah itu untuk mengucapkan takziah, serta memberikan sedikit sumbangan kepada keluarga.
Beliau berkata walaupun sekolah tahfiz itu tidak di bawah seliaan Kementerian Pendidikan malaysia, pihaknya bersimpati dan prihatin terhadap insiden yang menimpa.
"Sumbangan ini kita berikan kepada semua mangsa terlibat, membabitkan peruntukan berjumlah RM46,000," katanya.
