Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan pihaknya membantu mengumpul dana bagi membebaskan seorang wanita yang disabitkan bersalah kerana menyamar sebagai doktor gigi palsu baru-baru ini.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, persatuan itu sebaliknya hanya memberikan khidmat nasihat kepada keluarga dan peguam wanita berkenaan yang hadir bertemu pihaknya selepas mahkamah menjatuhkan hukuman.
Katanya, persatuan itu juga tidak pernah menyokong atau mengiktiraf tindakan individu berkenaan yang disifatkan boleh mengancam nyawa pengguna.
Bagaimanapun katanya, golongan netizen dan profesional di media sosial mengecam PPIM tanpa mengetahui isu sebenarnya.
"Kita sebenarnya tidak tahu apa yang jadi isu sebenarnya dan berasa kesal melihat komen-komen yang berniat jahat. Apa (kesalahan) yang kita buat dan buktikan jika ada.
"Jangan buat budaya Hang Nadim, kita kena ubah, kalau tidak negara akan hancur. Mungkin ini panggilan untuk lihat kembali apa yang tidak kena dalam diri kita," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan netizen bahawa PPIM membantu mengumpul dana bagi membantu wanita terbabit seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
'Bukan bantu buka klinik'
Dalam pada itu, Nadzim memberitahu, persatuan itu tidak berniat membantu wanita berkenaan membuka klinik pergigian sebaliknya hanya memberi cadangan membantunya membuka perniagaan lain.
"Jangan lontarkan tuduhan secara tidak bertanggungjawab. Kena ingat supaya kita lebih bertanggungjawab dan disebabkan sifat sebeginilah isu dadah tidak selesai," katanya.
Sementara itu, aktivis kanan PPIM Zharif Johor berkata, sumbangan yang diterima wanita tersebut diberikan oleh sebuah kelab permotoran yang mengumpulkan wang daripada orang ramai serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kami difahamkan kelab permotoran itu juga ada berkait dengan keluarga doktor gigi palsu tersebut.
"Segala kutipan wang berkenaan tidak melibatkan PPIM sama sekali. Ini dilakukan Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PPEIM) yang turut terlibat secara langsung dengan mempromosikan poster dan kutipan dana secara keseluruhan," katanya.
Pada 29 September lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh Norma Ismail menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM70,000 terhadap Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, atas tuduhan menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen di Bukit Katil.
Hakim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah dan sekiranya gagal membayar denda, Nur Farahanis boleh dijatuhi hukuman penjara selama 6 bulan.
Wanita muda itu juga dilapor bertindak berang dengan menumbuk dinding selepas mahkamah menjatuhkan hukuman.
