Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Antara peniaga tempatan dan restoran tanah besar di Kuantan

LAPORAN KHAS Dengar sahaja kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Kuantan untuk merasmikan Taman industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) pada Februari 2013, banyak peniaga tempatan di Kuantan merasa cukup gembira.

Antaranya Presiden Persatuan Pedagang Jentera dan Perkakasan Pahang Kent Lew yang melihatnya sebagai peluang untuk mengembangkan lagi perniagaan di sebuah bandar yang kegiatan perindustrian mula menjadi rancak, walaupun ia berdekatan dengan Pelabuhan Kuantan.

Malah, Lew ketika itu menggesa peniaga tempatan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang perniagaan yang bakal terbuka.


Berkaitan: Misteri ‘Tembok Besar China’ di Kuantan


Empat tahun berlalu, struktur fasa pertama MCKIP sudah boleh dilihat dan tembok dengan ketinggian lapan kaki yang mengelilingi tapak pembangunan seluas 1,200 ekar - digelar 'Tembok Besar Cina' Kuantan oleh penduduk setempat - sudah menjadi sebahagian daripada pemandangan.


Namun bagi sesetengah pihak, janji kemakmuran ekonomi dan beribu peluang pekerjaan masih kekal sebagai janji. Keterujaan dan harapan telah bertukar kepada perasaan bercampur-baur.

Memang ada peluang perniagaan ketika pembinaan fasa pertama MCKIP sedang rancak berjalan, tetapi tidak mencapai tahap seperti yang dijangka.

Lew berkata, pekerja bahagian pemerolehan MCKIP hanya akan membeli bekalan bagi bahan seperti skru, kayu, simen, keluli, besi dan papan lapis daripada syarikat tempatan.

Tetapi anehnya, mereka tidak pernah berminat untuk membeli kelengkapan dan bahan binaan yang lebih besar dan menguntungkan. Lew kemudian mendapati bahan-bahan itu diimport dari China.

"Bahan yang lebih besar seperti rangka keluli akan dikimpal dan disambung di China, kemudian dibawa ke tapak pembinaan MCKIP dan terus dipasang ," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, MCKIP juga hanya berminat menyewa jentera berat tertentu daripada pengusaha tempatan.

"Misalnya kren jambatan turut dibawa dari China. Mereka hanya menyewa mesin pengorek dan jentolak daripada kami."

Lew yang juga naib presiden Gabungan Persatuan Pedagang Logam, Jentera dan Bahan Pembinaan Malaysia berkata lagi, pekerja MCKIP juga agak bijak dalam membeli bekalan mereka dengan hanya memilih harga yang terendah.

Ia menimbulkan persaingan sengit antara pembekal tempatan lalu menyebabkan harga ditekan semakin rendah dan mendatangkan keuntungan yang tidak besar.

Maka, Lew menyimpulkan yang keuntungan daripada urus niaga dengan MCKIP sebenarnya sangat kecil dan hanya sebagai keuntungan tambahan kepada perniagaan tempatan.

Pemborong jentera dan perkakasan Chew Teck Kian pula lebih optimis dan yakin MCKIP telah memacu ekonomi Kuantan.

Katanya, hasil perniagaannya meningkat dari 10 hingga 20 peratus kerana MCKIP.

Namun sama seperti Lew, beliau mengakui impak projek itu tidaklah sebesar yang dijangka, ekoran tindakan MCKIP yang hanya mendapatkan bekalan tertentu sahaja daripada peniaga tempatan.

"Barangan itu biasanya yang diperlukan secara segera seperti jaring keselamatan, topi keledar keselamatan, kasut dan pakaian untuk pekerja," katanya kepada Malaysiakini.

Teknologi tempatan tidak setanding

Selain pemerolehan, sesetengah projek pembinaan dalam MCKIP terbuka kepada peniaga tempatan tetapi Lew berkata adalah susah untuk peniaga tempatan mendapat projek mereka.
 

Beliau mengakui bahawa peniaga tempatan kurang mampu untuk menepati piawaian tinggi MCKIP.

"Sukar untuk mendapat (projek) dan mungkin kita belum cukup mampu. Ini kerana kadar kerja (pekerja China) sangat pantas.

"Mereka hanya memerlukan masa dua tahun bagi menyiapkan projek yang biasanya mengambil masa lima tahun oleh syarikat tempatan," katanya.

Seorang lagi peniaga tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai "Tan" berkata, dia sebelum ini pernah membekalkan pekerja tempatan untuk projek pembinaan dalam MCKIP.

“Saya malu kerana apabila pekerja tempatan diminta membina rak yang sama seperti pekerja China, mereka hanya mampu menyiapkan 30 peratus di saat pekerja China sudah siap sepenuhnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Maka, katanya lagi, pekerja tempatan tersebut akhirnya berhenti kerja kerana tidak mampu mengikut rentak pekerja China.

Presiden Persatuan Pembinaan Kuantan Chua Say Chai pula berpandangan peniaga tempatan sepatutnya mencari jalan untuk meningkatkan lagi kemampuan mereka, bukan hanya tahu mengeluh.

Katanya, MCKIP pernah berhubung dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuantan (KCCCI) dan berkata mereka bersedia untuk memberikan projek kepada peniaga tempatan.

Misalnya, katanya lagi, sebahagian daripada tembok di sekeliling MCKIP dibina oleh kawannya. Namun bagi projek lain, mereka tidak mampu menyertainya.

"Mereka (MCKIP) memaklumkan kepada kami yang mereka sedang membina kilang keluli berteknologi tinggi, dan teknologi yang digunakan syarikat pembinaan tempatan mungkin tidak mampu untuk menyokongnya.

"Masalah utamanya adalah kita tidak mampu mengejar tahap mereka. MCKIP mengalu-alukan kita untuk berbincang dengan mereka...tetapi bagi projek tertentu, kita tidak mampu melakukannya kerana teknologi yang terlalu maju,” katanya.

Dia berharap pelaburan luar akan membawa kepada pemindahan teknologi, yang akhirnya mampu memajukan syarikat tempatan.

Ini boleh dilakukan jika kerajaan menetapkan kuota 30 peratus pekerja tempatan, agar mereka dapat belajar tentang teknologi negara luar, katanya lagi.

Katanya lagi, ia amat penting bagi membantu syarikat tempatan untuk bersaing, bukan sahaja dalam konteks MCKIP, tetapi juga untuk industri pembinaan secara umumnya yang mula menyaksikan peningkatan penyertaan syarikat pembinaan dari China dengan teknologi yang lebih maju.

Restoran 'asli' China

Sementara syarikat tempatan menanggapi pengaruh China yang semakin meningkat di kawasan itu - ditambah lagi dengan Pelabuhan Kuantan yang sebahagian pegangannya milik China dan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang didanai Beijing - warga China pula mula menjalankan perniagaan sendiri di bandar Kuantan.

Dalam tinjauan singkat di Kuantan, Malaysiakini mendapati sekurang-kurangnya tiga restoran baru yang dibuka warga China, iaitu Restoran Golden Spice, Restoran Chang An Noodle dan Restoran Chongqing Steamboat.

Restoran ini mensasarkan warga China yang tidak biasa dengan makanan tempatan, dan menginginkan hidangan daripada kampung halaman di China.

Pada masa sama, warga tempatan juga mula berkunjung ke restoran ini, mencari 'keaslian' dan keunikan'.

Pemilik Restoran Chang An Noodle yang berasal dari Dongbei, China berkata dia membuka restoran ini kira-kira enam bulan lalu berkata kerana dia mahu memenuhi permintaan warga China yang semakin ramai di bandar itu.

"Bilangan mereka semakin bertambah ekoran MCKIP, ECRL dan projek pembinaan terminal laut dalam yang baru di Kuantan Port," katanya kepada Malaysiakini.

Di saat pekerja biasa dari China dilarang keluar dari tembok MCKIP dan bergantung kepada makanan di kantin, mereka yang berpangkat eksekutif tidak dikenakan sekatan sedemikian.

Di Restoran Golden Spice, atau nama Cinanya Lameizi, pemiliknya mencuba yang terbaik untuk memastikan keaslian sehingga setiap barangan - termasuklah kertas dinding, meja, kain meja, kerusi, pinggan mangkuk dan hiasan lain diimport dari China.

Dibuka sejak Disember tahun lalu, pengurusnya berkata kedainya adalah satu-satunya tempat yang menyediakan hidangan Hunan di Kuantan. Hunan adalah wilayah yang terletak di selatan China.

Perasaan bangga jelas terpancar dari wajahnya.

"Rempah ratus dan tukang masak dibawa dari China, maka makanan kami adalah gaya Hunan yang tulen," katanya dengan loghat tanah besar yang pekat.



'Gear pertama' MCKIP

Walaupun sejumlah penduduk tempatan merungut tentang manfaat ekonomi yang tidak menepati jangkaan, ada juga yang berpandangan semua itu akan berubah tidak lama lagi.

Baru-baru ini, ternampak dua papan iklan oleh Alliance Steel (M) Sdn Bhd dinaikkan di bandar Kuantan.

Syarikat yang memiliki 710 daripada 1,200 ekar fasa pertama MCKIP itu mengiklankan 4,000 tawaran pekerjaan dalam bidang pengeluaran untuk kilang keluli berteknologi tinggi yang akan siap tidak lama lagi.
 

Pada satu papan iklan, tertera "Di Malaysia, Untuk Malaysia, 4,000 Jawatan Kosong!".

Sebuah lagi pula dengan kata-kata yang menarik perhatian: "Countless jobs, all in same place...We recruit, join out team".
 

Antara pekerjaan yang ditawarkan termasuk kakitangan pentadbiran, jurutera, juruteknik penyelenggaraan mekanikal, juruteknik operasi pengeluaran, pengimpal, pemandu hoist kren, pengurus stor alat ganti dan pekerja am.

Sikap penuh rahsia MCKIP semasa peringkat pembinaannya - yang didominasi pekerja warga China - telah mencetuskan desas-desus tentang apa yang berlaku di sebalik 'Tembok Besar China' Kuantan.

Tetapi Alliance Steel yang mula mengiklankan ribuan tawaran kerja kepada warga tempatan, barangkali akhirnya mampu mengendurkan sedikit spekulasi tentang MCKIP.

Hanya masa menentukan sama ada warga tempatan mampu memenuhi syarat dan keperluan sebuah kilang berteknologi tinggi itu. Apatah lagi dengan rungutan banyak majikan tentang kemahiran graduan Malaysia, lama sebelum kehadiran MCKIP.

Kerajaan Pahang yakin rakyat Malaysia mampu mengisi dua per tiga daripada kekosongan apabila kilang tersebut beroperasi nanti.

Menurut jawapan bertulis Dewan Undangan Negeri pada 14 September kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chon Siang, kerajaan mensasarkan 70 peratus daripada 4,000 pekerja di kilang keluli adalah warga Malaysia. Baki 30 peratus pula dari China.

Bagi MCKIP fasa kedua pula, kata jawapan itu lagi, rundingan bagi penjualan tanah sudah diselesaikan dan MCKIP telah membayar deposit kepada kerajaan.

"MCKIP 3 pula merangkumi kawasan perindustrian, komersial, logistik, pergudangan serta perumahan yang sedia untuk ditawarkan kepada pelabur."

Keseluruhannya, kerajaan negeri menjangka kesemua fasa MCKIP akan menjana 15,000 peluang pekerjaan dan pelaburan bernilai RM19.4 bilion, selain peluang keusahawanan kepada sekurang-kurangnya 500 perniagaan tempatan.
 

Bahagian 1: Misteri ‘Tembok Besar China’ di Kuantan

Bahagian 3: China rangsangkan Kuantan, tapi apa harganya?

MCKIP: 'Tembok' untuk kilang keluli saja, tiada pencemaran
 

Lihat Komen
ADS