Paling Popular
Terkini

ULASAN | Menurut pesan bijak pandai, sesiapa yang bertemu mata dengan penulis yang disanjungnya, dia tidak akan mendapat apa-apa melainkan rasa kecewa. Kerana penulis tersebut sudah membuang pegangan dan keyakinan yang ada dalam karyanya - atau lebih pedih - pegangan dan keyakinan itu hanyalah watak atau pun topeng yang dipakai, tidak pernah wujud pun dalam dirinya.

Kedua-duanya adalah risiko yang tidak berbaloi untuk diambil.

Tidak syak lagi, inilah yang bakal terjadi kepada sesiapa saja yang memuja karya Kassim Ahmad, insan kontroversi yang dahulunya penyair besar dan pemikir kiri paling ideologikal pernah lahir di Malaysia.

Pada 2014, berlangsung acara George Town Literary Festival (ada sebab mengapa ia bukan Festival Sastera George Town) di Pulau Pinang. Acara tahunan yang menjadi alasan ramai orang untuk ke sana menikmati char kue tiau dan nasi kandar.

Saya tidak pernah ke festival itu, dan saya bukanlah seorang yang boleh digelar sebagai foodie.

Secara sepintas lalu, saya melihat atur cara program dan di celah-celah acara lain terselit dua slot yang melibatkan Kassim: Tuah, Jebat and the Battle for the Malay Soul, dan In Conversation With Kassim Ahmad.

Ini sesuatu yang amat mengujakan. Kassim Ahmad nampaknya masih ingin menyampaikan sesuatu.

Saya berada di persimpangan, namun tidak lama. Selepas beberapa pertanyaan dan menghantar beberapa teks dan hasilnya, saya berjaya ‘chop’ satu tempat menumpang kereta kawan untuk ke sana.

Ada keperluan untuk bertemu Kassim memandangkan dia ketika itu semakin uzur. Ada juga khabar mengatakan dia sudah putus asa untuk mengharungi perbicaraan mahkamah berhubung ucapannya di satu acara sempena ulang tahun ke-80 dia yang kini sedang berjalan. Dia rela dengan apa sahaja keputusan, termasuklah dihumban ke penjara.

Tambahan pula, saya perlukan bahan untuk menyiapkan karangan ini. Selepas dua esei dan satu forum, saya perlukan sisi baru yang lebih segar. Deadline pula sudah semakin hampir.

Saya benar-benar ingin melihat, adakah masih ada - walaupun sedikit - roh Hang Jebat dalam Kassim? Kalau pun tidak berpegang sepenuhnya, apakah dia masih menerima bentakan-bentakan sajak yang ditulisnya berdekad lalu?

Namun, sebaik mana manusia merancang, Tuhan juga yang menentukan. Ketika kami sedang bersiap sedia untuk ke The Whiteways Arcade - tempat berlangsungnya syarahan Kassim - kami menerima berita buruk. Dua slot tersebut terpaksa dibatalkan akibat kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Ia digantikan dengan forum tentang tapisan karya di Malaysia dan "in conversation with bukan Kassim Ahmad".

Maka, apa lagi yang tinggal di George Town?

Saya tidak boleh bercakap bagi pihak lain, tetapi pastinya saya berasa sangat kecewa. Dia sajalah tujuan saya datang ke festival itu. Namun alang-alang berada di George Town saya melangkah juga ke Whiteways - dengan longlai. Sempat ke beberapa acara, dan jangkaan saya benar tentang atmosfera dan crowd festival yang tak masuk dengan jiwa. Anggap sahajalah perjalanan ini sebagai jalan-jalan hari minggu bersama kawan.

Mengenali seorang Kassim

Saya mula berkenalan dengan Kassim tujuh tahun lalu. Ketika berjalan-jalan seorang diri di sekitar Masjid India. Selepas melihat buku bertajuk Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme kepada Islam di sebuah kedai, saya terus membelinya dan tidak mengambil masa lama untuk menghabiskannya. Ketika itu, saya seorang pelajar yang tidak tahu bagaimana untuk menghabiskan wang biasiswa, dan ada terlalu banyak masa.

Perjalanan Kassim mencapai hidupnya boleh menyebabkan kita merasakan diri orang paling kerdil dan penakut di dunia. Hakikatnya, persoalan yang bersarang di fikiran Kassim bukanlah terlalu luar biasa.

Melihat kemerosotan umat manusia dan kerosakan dunia yang berpunca daripadanya, pasti terlintas dalam fikiran - walaupun sejenak - untuk mempersoalkan fahaman dan keputusan yang dipegang masyarakat.

Pasti ada keinginan untuk mencari nilai-nilai baru, atau menggali semula fahaman yang sudah terperosok ditenggelami dekaden dan hipokrasi sekeliling. Atau mungkin sahaja mengabaikan terus semua itu, hidup dengan keterasingan.

Tinggal saja untuk mencari jalan yang dipilih, mengorak langkah pertama dan membuka pintu di hadapan. Dan Kassim membuka pintu pilihannya dengan penuh berani.

Membaca memoir itu, saya berkenalan dengan seorang insan yang penuh kontradiksi namun memiliki tujuan hidup yang konsisten - mencari Tuhan dan menyelamatkan masyarakatnya.

Dengan menemui Tuhan (dan agama), Kassim berharap ia mampu menggantikan fahaman yang dipegang-seleweng masyarakat sebegitu lama, tetapi dirasakan gagal membawa mereka keluar dari musim kemarau yang berpanjangan.

Proses itu dirakam di dalam memoirnya. Di dalamnya, ada anekdot berhubung pertimbangannya pada satu masa, bahawa syurga yang dimaksudkan adalah zaman kanak-kanak, dan neraka pula peperangan. Sejauh itu Kassim mencari kebenaran.

Betapa malangnya nasib manusia, jika itulah kebenarannya. Kerana zaman kanak-kanak tidak mungkin dapat diulang.

Pada satu masa, Kassim memberitahu anaknya, "Ayah mencari agama selama 36 tahun. Tetapi ayah boleh mengajarnya kepada kamu selama 36 jam sahaja." Alangkah lapang dirinya apabila menemui Tuhan selepas sekian lama.

Roh Hang Jebat

Apakah masih ada - walaupun sedikit - roh Hang Jebat dalam diri Kassim?

Mengubah cara pandang masyarakat, Melayu khususnya, yang terlalu feudalistik bukanlah hal yang mudah. Ketika menulis tesisnya pada era 60-an, masyarakat baru sahaja mencapai kemerdekaan. Dalam kata lain, mereka pernah hidup di zaman raja yang belum diperlembagaankan.

Tesisnya yang mengangkat Hang Jebat sebagai hero merupakan pandangan biasa zaman sekarang. Namun ketika era itu, ia amat radikal dan mendahului masa. Namun sebenarnya ia adalah sesuatu yang tidak terelakkan.

Selepas merdeka, masih ramai masyarakat Melayu yang hidup susah dan tertindas. Ditambah pula dengan munculnya golongan feudal baru iaitu pemerintah, pada masa sama feudal lama masih kekal walaupun hanya sebagai simbol. Pasti akan ada individu yang akan memberontak dengan persekitaran sebegitu.

Saya ingin mendengar, apakah yang akan dia perkatakan tentang penyakit ‘kesetiaan golongan tertindas’ yang semakin parah di negara kita pada masa ini.

Semakin lama merdeka, semakin banyak ‘feudal’ yang menjerut leher masyarakat kita. Daripada raja, pemerintah, parti sehinggalah orang agama. Semuanya disakralkan, tidak boleh dipersoalkan lagi.

Boleh jadi ia selapis sahaja – akibat pembasuhan otak yang berlangsung sekian lama. Atau ada sebab yang lebih dalam – ketakutan manusia untuk bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri, lantas setiap keputusan diandalkan kepada pihak lain. Saya tiada jawapan.

Lebih-lebih lagi ketaatan masyarakat di sekeliling terhadap mereka yang menggelarkan diri mereka ustaz - atau lebih teruk - ulama. Setiap soal agama telah diletakkan sepenuhnya di tangan mereka. Tiada siapa yang perlu berfikir, memutuskan, dan bertanggungjawab dengan keputusan itu.

Ini perkara yang amat merosotkan agama yang saya anuti.

Anehnya, orang agama yang mendapat tempat adalah mereka yang lebih berminat tentang soal halal-haram dan dosa-pahala yang bersifat peribadi. Mereka antara punca obsesi masyarakat terhadap dosa pahala dalam kehidupan peribadi orang lain.

Mereka tidak berminat, atau mungkin tidak mampu berbicara dengan mendalam tentang soal-soal dunia yang kompleks ini.

Di tangan mereka, Tuhan hanya sebagai al-Hakam, bukan lagi ar-Rahman dan ar-Rahim.

Kassim secara berseorangan menentang mereka yang digelarnya sebagai ular dalam semak ini sepanjang hidup. Jadi, apa pandangannya? Dia sudah terlalu lama berjuang untuk merasa kecewa, bukan?

Zaman untuk para hero

Sebelum membaca kisah-kisah dalam Mencari Jalan Pulang, saya terlebih dahulu berhadapan dengan sebuah sajak bertajuk Dialog.

Kian lama kita mati dalam setia
kali ini kita hidup dalam derhaka.

Demikian baris terakhir sajak itu. Ia juga adalah kredo hidup seorang Kassim Ahmad. Hidup yang terkesan dengan dua perkara: pencarian Tuhan dan peperangan dunia.

Teriakan-teriakan itu juga berhamparan, bermula halaman pertama hingga akhir Kemarau di Lembah.

Sajak-sajak di dalamnya dikarang antara 1955 hingga 1962. Sepanjang tempoh itu, Malaya mendapat kemerdekaan. Dunia menjadi pertaruhan dalam persaingan nuklear AS dan Kesatuan Soviet. Perang Dunia ke-2 masih segar di ingatan. Peta dunia baru sahaja berubah beberapa dekad sebelumnya.

Lebih daripada itu, zaman itu - menurutnya dalam sebuah esei - ialah ‘Zaman Baru’ yang telah menterbalikkan segala nilai positif sebelumnya yang terbina daripada kebangkitan Eropah (Rennaisance) dan Zaman Kesedaran (Age of Enlightenment) ratusan tahun sebelumnya.

Kassim percaya kebaikan perlu melawan kejahatan. Dan kebaikan akan menang, akhirnya. Ia adalah takdir yang tidak dapat dielakkan. Selaku produk zaman, dia melihat dunia dalam polariti itu; yang baik dan yang jahat.

Malah kepercayaan itu dipegangnya sehingga hari ini. Dalam Mencari Jalan Pulang, Kassim menggambarkan abad ke-20 adalah pertarungan akhir yang baik dan yang jahat, atau mengikut kata-katanya, tenaga Tuhan dan tenaga Dajal. "Kesudahannya tidak dapat disangsikan lagi - tenaga-tenaga Tuhan akan menang”.

Kini ialah tahun ke-15 abad ke-21. Naratif pertarungan akhir itu telah kehilangan plotnya. Kita sendiri sudah menyaksikan, dalam tenaga Tuhan adanya Dajal, dalam tenaga Dajal, adanya Tuhan. Semuanya mencair.

Maka saya ingin bertanya: Adakah Kassim masih lagi berpegang dengan keyakinan itu? Adakah Kassim belum berputus asa untuk menyelamatkan dunia?

Sejauh ini, pastinya dia sudah melihat sendiri, manifestasi apa yang dipanggil sebagai ‘Zaman Baru’ itu. Hero sudah mati, belakangnya ditikam pemandu naratif abad lalu - ideologi. Ideologi yang diusung kuasa-kuasa yang menjanjikan utopia di hujungnya.

Berapa juta nyawa melayang atas nama komunisme? Berapa juta insan digadaikan atas nama kapitalisme?

Masa melebar

Pada abad ramai penyelamat dunia lahir, abad yang sama juga menyaksikan korban terbanyak dalam sejarah kemanusiaan (siapa sangka, selepas Tuhan 'dibunuh', umat manusia masih gagal mengamankan dunia).

Kami telah saksikan, yang baik tidak semestinya mengalahkan yang jahat. Berulang-ulang kali. Kami juga telah saksikan, yang baik dan yang jahat bertukar peranan.

Pak Kassim juga melihatnya, bukan?

Persoalan-persoalan ini gagal terjawab. Seakan semakin jauh rentang masa hari ini dengan abad lalu. Bolehkah kita mengelakkan diri daripada diperangkap dalam kotak-kotak zaman?

Kita boleh mengumpul maklumat tentang pengalaman, tetapi bukan pengalaman itu sendiri, kata Aldous Huxley. Saya yakin dia tidak akan bersetuju, walaupun telah merasai sendiri kepedihannya.

Kerana sehingga hari ini, Kassim kekal sebagai anak abad ke-20.

Namun, kejujuran dan kesungguhan, seperti yang ditumpahkannya dalam setiap karya, yang menjadi tenaga mengangkat kaki melangkah jalan-jalan penuh ranjau, sentiasa relevan sampai bila-bila.

* Artikel ini disiapkan pada 2015 untuk satu terbitan. Setahun kemudian, saya sempat bertemu Pak Kassim dalam satu acara di Kuala Lumpur.

Seorang kawan berkata, semua peminat Pak Kassim ada kritikan ke atasnya. Tidak hairan, dia seorang yang punya banyak suara. Yang dia tiada cuma ruang untuk berhujah dan membalas hujah.

Pegawai agama datang dan pergi, dan tiada siapa peduli. Tetapi Kassim Ahmad akan terus hidup, kerana dia ialah karya dan semangatnya.

*Tulisan ini disunting daripada artikel asal yang dimuatkan dalam buku 'Quo Vadis, Pak Kassim?' terbitan Obscura (2017).


AEDI ASRI ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS