Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zamihan turut diheret ke lembaga tatatertib Jakim
Diterbitkan:  Oct 12, 2017 11:39 AM
Dikemaskini: 4:01 AM

Di sebalik penafian, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan Zamihan Mat Zain sebagai pegawai kader mereka yang ditugaskan di Kementerian Dalam Negeri.

Ketua pengarahnya Tan Sri Datuk Othman Mustapha mengesahkan perkara itu dalam kenyataan media semalam, selepas kontroversi Zamihan mengkritik sultan Johor.

“Jakim memandang serius terhadap ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Zamihan Mat Zain, pegawai kader Jakim di Kementerian Dalam Negeri yang kini ditempatkan di penjara Kajang,” katanya.

Sementara itu, semakan Malaysiakini di laman web Jakim mendedahkan bahawa Zamihan menyandang jawatan "pegawai hal ehwal Islam".

Zamihan semalam berkata beliau sudah 13 tahun tidak berkhidmat dengan Jakim.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa beliau hanya berkhidmat untuk Jakim sehingga Julai 2006, ke Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim) sehingga 2012 dan ke KDN sehingga 2016.

“Di mana saya (kerja) sekarang rahsia,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kenyataannya semalam, Othman juga mendedahkan Jakim telah memanggil Zamihan pagi semalam untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Jakim telah memutuskan untuk merujuk perkara ini kepada lembaga tatatertib untuk tindakan lanjut,” katanya.

Free Malaysia Today (FMT) kelmarin melaporkan Zamihan mengkritik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana membidas sebuah kedai dobi di negeri itu yang tidak menerima pelanggan bukan Islam.

FMT dalam laporannya memetik Zamihan sebagai berkata:

“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu."

Zamihan menyifatkan orang Cina tidak suci selepas membuang air besar dan pakaian umat Islam tidak boleh dibiarkan bercampur dengan pakaian bukan Islam atas keperluan untuk beribadat.

Beliau juga mendakwa laporan itu berniat jahat dan mahu membunuh karektornya serta mengancam menyaman tiga media dan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim yang mengulasnya.

Dalam penjelasannya, Zamihan berkata tidak menyebut nama sultan Johor tetapi sedia mengadap dan memohon maaf jika baginda terasa hati.

Lihat Komen
ADS