Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Perdana Menteri dan timbalannya untuk memfailkan pembelaan mereka berhubung saman yang dikemukakan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Khairuddin sebelum ini memfailkan saman tersebut kerana mendakwa Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Zahid Hamidi melanggar angkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong berkenaan isu RM2.6 bilion.

Arahan itu dibuat oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi M Pavani susulan pengurusan kes hari ini.

Beliau juga mengarahkan Najib dan Zahid untuk mengemukakan permohonan mereka untuk membatalkan saman itu, sekiranya memilih untuk berbuat demikian, sebelum 10 November.

Hakim Ahmad Zaidee Ibrahim menetapkan 15 November sebagai tarikh pengurusan kes.

Khairuddin diwakili peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar, manakala perdana menteri dan timbalannya diwakili oleh Yazid Mustaqim.

Menurut Syed Iskandar, ketika dihubungi Malaysiakini, Yazid memaklumkan kepada timbalan pendaftar mahkamah bahawa firma beliau tidak menerima apa-apa arahan daripada Najib atau Zahid untuk memfailkan permohonan bagi membatalkan saman itu.

Khairuddin memfailkan saman terhadap perdana menteri dan timbalannya bulan lalu kerana didakwa melanggar sumpah mereka kepada Yang di-Pertuan Agong dengan mengelirukan orang ramai berhubung isu sumbangan AS$ 681 juta (RM2.6 bilion).

Bekas naib ketua Umno Batu Kawan itu cuba mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa Najib dan Zahid telah melanggar sumpah mereka di bawah Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu tidak layak memegang jawatan masing-masing atau mana-mana kedudukan dalam kabinet.

Khairuddin mendakwa beliau mempunyai lokus standi untuk memulakan saman tersebut demi kepentingan awam.

Khairuddin, dalam pernyataan tuntutannya, mendakwa pada Mac 2013, sejumlah AS$ 681 juta dari 1MDB telah dimasukkan ke akaun Najib.

Bagaimanapun, perdana menteri mengatakan antara lain wang itu berasal daripada seorang penderma Arab.

Khairuddin mendakwa kenyataan Najib adalah palsu kerana wang berkenaan berasal dari Tanore Corporation Finance, sebuah syarikat yang dikendalikan oleh Low Thaek Jho, yang merupakan rakan Najib.

Mengenai timbalan perdana menteri, Khairuddin mendakwa Zahid telah memberitahu Dewan Rakyat pada Ogos 2015, bahawa beliau telah bertemu penderma atau penderma Arab berkenaan mengenai jumlah wang yang terlibat, dan oleh itu telah mengelirukan dewan dan rakyat Malaysia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS