Tiga anggota TLDM didakwa bunuh dan cedera rakan sekerja

   

Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, dekat Lumut hari ini atas pelbagai tuduhan berkaitan membunuh dan mencederakan dua rakan sekerja dalam bilik tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, bulan lepas.

Ketiga-tiga tertuduh, Mohd Izhrifikri Roslee, 29; Hamzah Zakaria, 35; dan Mohd Farid Musa, 32, yang berpangkat Laskar Kanan dan bertugas sebagai pengawal bilik tahanan itu.

Bagi kes Mohd Izhrifikri, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, di padang latihan bilik tahanan tersebut antara jam 10.30 pagi hingga 3.20 petang, 29 Sept lalu.

Dia juga dituduh menyebabkan kematian Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, pada masa, tarikh, dan lokasi sama.
Tertuduh didakwa dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika dibacakan di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Dis ini untuk sebutan semula di Mahkamah Majistret Seri Manjung sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat serta dokumen-dokumen lain.

Bagi pertuduhan terhadap Hamzah, tertuduh menghadapi dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja terhadap Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailatuliman di laluan hadapan bilik tahanan tersebut pada jam 10.30 pagi, 29 Sept.

Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 30 Okt ini.

Bagi pertuduhan aterhadap Mohd Farid Musa, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nik Muhammad Baihaqy di pejabat pengawal bilik tahanan itu pada jam 12.30 tengah malam, 28 Sept lalu.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebelum mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 30 Okt ini.

Hamzah dan Mohd Farid masing-masing didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Perak, Yusaini Amer Abd Karim manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Peguam Zalil Mohd Mess dan Farah Helmy turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi mewakili keluarga Muhammad Lailatuliman.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat