Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 lelaki dihukum penjara miliki 97kg cengkerang penyu
Diterbitkan:  Oct 13, 2017 3:47 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Mahkamah Sesyen Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM150,000 masing-masing kepada dua lelaki warga asing yang mengaku bersalah memiliki 97 kilogram cengkerang dan bahagian-bahagian bangkai penyu agar atau nama saintifiknya Chelonia mydas.

Hakim Indra Ayub menjatuhkan hukuman itu ke atas Adam Ilma, 30 dan Gunak Sinduk, 20 yang didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pulau Ligitan, Semporna awal bulan ini.

Kedua-duanya yang tidak diwakili peguam, diarah menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkap pada 7 Oktober lepas dan tambahan hukuman penjara setahun lagi sekiranya mereka gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Menurut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa memiliki 97 kg cengkerang serta bahagian-bahagian bangkai penyu hijau, iaitu haiwan yang dilindungi yang disenaraikan dalam Bahagian 1, Jadual 1, Nombor 8 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, pada 11 pagi 7 Okt lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(4) Enakmen yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ketika prosiding hari ini, mahkamah diselubungi bau busuk seketika apabila karung mengandungi cengkerang penyu dan bahagian-bahagian rangka penyu dibuka bagi tujuan pengecaman.

Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL) Abdul Karim Dakog yang mengendalikan pendakwaan turut memberitahu mahkamah kedua-dua tertuduh menjual enam bangkai penyu pada harga RM600.

Berdasarkan fakta kes, Adam dan Gunak ditahan oleh sekumpulan penguat kuasa JHL yang menjalankan operasi membanteras jenayah berkaitan penyu, selepas mendapati mereka memiliki cengkerang serta bahagian rangka lain penyu tanpa surat kebenaran daripada menteri atas nasihat pengarah.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS