'Disuap' RM7j: Anina saman 6 ahli BERSATU

   

Bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Anina Saadudin menyaman enam individu berhubung dakwaan dia menerima suapan bernilai RM7 juta daripada Umno.

Katanya empat daripada mereka ialah pemimpin BERSATU Langkawi yang dilantik oleh ketua bahagian itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun kata Anina Dr Mahathir bukan seorang daripada enam individu yang disamannya itu.

Setakat ini Anina tidak mendedahkan identiti individu berkenaan dalam saman yang difailkannya melalui firma guaman Tetuan Abdul Aziz & Tazmin di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 Okt.

"Saya memfailkan tuntutan saman fitnah ini selepas berpuas hati semua proses dalaman parti dilakukan.

"Saya telah menghantar aduan kepada Jawatankuasa Disiplin BERSATU pada 2 Ogos 2017 tetapi tiada sebarang siasatan dan tindakan diambil," katanya dalam sidang media di rumahnya di Bandar Baru Bangi, Selangor hari ini.

Sebelum mengemukakan aduan itu bekas pemimpin Wanita Umno Langkawi berkenaan berkata, dia juga membuat laporan kepada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malangnya kata Anina fitnah yang dikaitkan dengannya itu masih berlegar di media sosial dan orang ramai, malah sehingga Ketua Pemuda BERSATU (ARMADA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan sidang media pada 2 Okt lalu dan mengaitkan namanya.

"Saya amat kelas dengan tiadanya tindakan parti khususnya jawatankuasa disiplin dan pucuk pimpinan BERSATU sendiri.

"Lebih malang fitnah ini dimulakan dan diteruskan oleh barisan kepimpinan BERSATU Langkawi," katanya.

Tindakan itu katanya bukan saja memberi kesan kepada dirinya malah turut menjejaskan nama baik Dr Mahathir.

"Saya yang merupakan salah seorang penaja BERSATU difitnah dan dibiarkan begitu saja tanpa sebarang pembelaan daripada pimpinan parti seolah-olah ia direstui.

"Justeru saya mengambil tindakan melalui proses mahkamah bagi menyangkal fitnah mereka dan membersihkan nama saya daripada tuduhan berniat jahat dan jijik ini," katanya.

[Baca berita asal]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat