Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perlu lebih serius tangani pencerobohan nelayan asing'

Agensi penguatkuasaan perlu lebih serius menangani masalah pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing yang mengakibatkan ketirisan hasil laut bernilai RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini penting berikutan walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh agensi penguatkuasaan seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan untuk mengekangnya, masalah itu terus berlaku.

“Malah apabila program ‘Eye in The Sky’ (dilaksanakan) sama ada di Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut China Selatan, kita mengharapkan akan dapat dielakkan (tapi masih berlaku pencerobohan oleh nelayan asing)… jadi ini tidak adil kepada rakyat Malaysia terutama nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 di Kuala Kerteh di Terengganu, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata nelayan perlu memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) pada bot masing-masing sama ada ia diberi secara percuma ataupun perlu beli sendiri.

“Ia hendaklah dipasang bukan sahaja untuk pemantauan tetapi juga untuk menentukan keselamatan mereka di zon-zon tertentu mengikut permit mereka dapat dilakukan agensi penguatkuasaan… terutama apabila ada nelayan masuk sempadan zon negara asing yang kononnya didakwa telah menceroboh.

“Jadi bukti-bukti ini adalah penting untuk perundangan antarabangsa bagi mempertahankan hak mereka dan waktu yang sama bagi mengelak pencerobohan oleh nelayan asing,” katanya.

Ahmad Zahid turut berharap nelayan mematuhi had zon dalam lesen masing-masing iaitu zon A (1 hingga 8 batu nautika), B (8 hingga 15 batu nautika) dan C (laut dalam) bagi mengekang pencerobohan sesama nelayan.

“Nelayan laut dalam terutamanya perlu mempunyai semangat menghormati hak orang lain dan tidak boleh menganggu-gugat zon nelayan tepi pantai.

“Kita juga ingin meminta bot laut dalam bawa hasil itu kepada negara bukan menjual di laut untuk peraih-peraih negara asing kerana ini merugikan negara. Perkara ini penting diberi penekanan,” katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS