Berita Malaysiakini

Himpunan antikleptokrat tamat, penganjur dakwa 25,000 hadir

Diterbitkan  |  Dikemaskini

LAPORAN LANGSUNG Himpunan anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN) berlangsung hari ini dengan mengambil slogan antikleptokrasi – Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi – bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya.

Himpunan berkenaan adalah susulan reaksi terhadap saman sivil terbaru Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan isu 1MDB selain merupakan langkah pemimpin HARAPAN memberi kefahaman kepada orang ramai berkenaan skandal yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perhimpunan itu akan dihadiri oleh pemimpin dari parti komponen HARAPAN iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Penganjur sebelum ini menyasarkan 100,000 penyertaan. Himpunan itu dijangka bermula pukul 4 petang ini sehingga lewat malam.

Ikuti laporan langsung Malaysiakini sekitar himpunan itu.


11.00pm - Padang Timur: Himpunan Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi anjuran HARAPAN akhirnya melabuhkan tirainya.

Penganjur mengumumkan sejumlah 25,000 yang hadir menyertainya, namun Malaysiakini menganggarkan jumlah hadirin paling tinggi kira-kira 8,000.

Jumlah kutipan bagi sumbangan dana pula ialah RM68,329. Wang itu akan digunakan untuk menampung kos penganjuran himpunan, dan bakinya diagihkan kepada empat parti komponen HARAPAN.

10.25pm - Padang Timur: Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya mengambil alih pentas bagi menyampaikan ucapan penutup.

Beliau yang juga presiden HARAPAN menggelarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai musuh negara.

"Bersatu kita teguh, bercerai Najib menang," katanya.

Mahathir berikrar yang HARAPAN akan menjadikan Malaysia kembali "mulia" dan menjadi antara 10 negara paling bersih di dunia menjelang 2030, jika mereka berjaya mentadbir negara.

Mahathir berkata, HARAPAN akan mengambil lima langkah antirasuah bagi masa 100 hari mentadbir negara, antaranya menangkap "Malaysian Official 1", menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat dakwaan penyelewengan 1MDB dan Felda dan menubuhkan badan bebas untuk mengembalikan aset rakyat yang diselewengkan.

SPRM akan dijadikan badan bebas dan diletakkan di bawah Parlimen dan amalan rundingan terus bagi kontrak kerajaan juga akan dihapuskan, katanya lagi.

Walaupun mengakui Padang Timur, yang mampu memuatkan kira-kira 40,000 peserta, masih tidak penuh, beliau berkata ia akan penuh jika hadirin yang berada di belakang pentas memasuki kawasan padang.

10.15pm - Taman Jaya LRT: setakat pukul 9.30 malam, masih ramai yang tiba, dan juga meninggalkan, himpunan dengan menaiki LRT.

Sebahagian yang baru tiba memberitahu Malaysiakini yang mereka menunggu kemuncak himpunan sebelum ke Padang Timur.

Manakala yang pulang ke rumah pula berkata, mereka sudah berada di sini sejak pukul 4 petang dan mahu mengelak kesesakan nanti.

"Kita masih boleh menonton himpunan melalui 'livestream' di rumah," kata seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Maznah, dari Klang.

Beliau bersama-sama kira-kira 20 peserta lagi membawa belon dan bendera PKR, dan kelihatan kekal bersemangat dan bersorak ketika menunggu LRT di platform.

'Jangan lupa Anwar'

10.10pm - Padang Timur: Semua pemimpin HARAPAN yang berada di pentas bangun untuk membacakan "Ikrar Padang Timur" dan mengangkat plakad "Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi".

"Malaysia ini rakyat yang punya," laung mereka selepas membaca ikrar.

Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada di sana, keberadaannya tetap dirasai melalui tayangan video koleksi ucapannya.

Keadaan di Padang Timur bertukar diam apabila hadirin menumpukan perhatian terhadap video itu.

Hanya sekali sorakan memecahkan suasana, di saat gambar Datuk Seri Najib Razak terpapar di layar.

Sebelum itu, Presiden HARAPAN dan isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan ringkas 30 saat.

"Jangan lupa Anwar, jangan lupa Tian Chua!"

"Turun ke pilihan raya dan undi Pakatan Harapan," katanya.

10.00pm - Padang Timur: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekali lagi berjanji akan mengekalkan Skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Bercakap di hadapan 8,000 peserta himpunan anti-kleptokrasi sebentar tadi Guan Eng berkata pengekalan BR1M mampu dilakukan kerana pentadbiran kerajaan pimpinan pembangkang itu bersih.

“Kalau anda sokong untuk kita gantikan BN kita akan buat baik terhadap negara dengan menghapuskan GST.

“Pada masa yang sama kita akan kekalkan BR1M, kita mampu buat demikian kerana kita bersih dan rakyat pasti akan dapat wang,” kata Guan Eng.

9.50pm - Padang Timur: Pengacara majlis mengumumkan risalah yang menunjukkan kabinet bayangan HARAPAN yang diedarkan ketika himpunan adalah palsu.

Beliau menunjukkan salinan risalah itu, yang menunjukkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang sebagai perdana menteri.

Sambut hari lahir Mat Sabu

9.40pm - Padang Timur: Presiden Amanah Mohamad Sabu diraikan sempena hari kelahiran ke-63.

Mat Sabu mengakui beliau tidak pernah meraikan hari lahir sebelum ini.

"Saya orang kampung, saya tidak pernah sambut hari lahir," katanya sebelum hadirin menyanyikan lagu meraikan hari kelahirannya.

9.30 pm - Padang Timur: Sebahagian kawasan padang dipenuhi belon berwarna kuning yang dibawa dua peserta dari Kepong. Dua lelaki itu kelihatan sedang mengepam belon dan mengagihkannya kepada peserta lain.

"Saya hadir ke sini dan mengedarkan belon kuning ini. Ia mewakili harapan saya untuk memiliki sebuah negara yang bersih," kata salah seorang kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Chin Ah moi, 70, memberitahu Malaysiakini yang ini merupakan kali pertama beliau menyertai himpunan.

"Saya berkongsi matlamat dengan BERSIH dan himpunan lain, tetapi saya tidak sertainya," katanya.

Beliau berkata sebelum ini tidak berasa selamat untuk menyertai demonstrasi.

Wanita yang tinggal di Damansara itu datang bersama suaminya yang berusia 73 tahun.

"Kami bukan ahli parti, tetapi menyokong DAP. Anak-anak saya menyertai himpunan BERSIH sebelum ini," katanya.

9:15pm - Padang Timur: Bekas presiden Majlis Peguam Datuk S Ambiga sekali lagi mengulang seruannya agar rakyat memberi peluang satu penggal pada HARAPAN untuk mentadbir negara.

"Mari kita beri HARAPAN lima tahun seterusnya. Jika kita tidak berpuas hati, kita tolak mereka selepas itu," katanya.

Ucapannya diikuti deklamasi sajak oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, bertajuk 'Hidup Bersama'.

"Selagi tiada ketidakadilan, lawan tetap lawan," katanya memetik slogan yang selalu disebut Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ketika menutup bacaan sajaknya.

Pemimpin yang sakit

9.00pm - Padang Timur: Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini menghidap penyakit kronik bernama kleptomania.

"Satu dua hari ini saya semak kamus, rupa-rupanya ada penyakit namanya 'kleptomaniac'," katanya dalam ucapannya.

Kleptomania bermaksud kegagalan untuk menahan diri daripada mencuri yang biasanya bukan bertujuan peribadi.

“Najib sedang tenat, beliau sebenarnya pemimpin yang sakit yang gila untuk mencuri dan merompak duit rakyat,” katanya.

Bekas pemimpin kanan PAS itu menyeru peserta himpunan agar memilih pemimpin yang lebih baik dan mampu "membina semula" Malaysia.

8.55pm - Padang Timur: Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Padang Timur, selepas berehat seketika.

Ketika ketibaannya, beliau disambut sorakan hadirin yang memenuhi bahagian depan pentas.

Bekas perdana menteri itu dijadual berucap pada pukul 10.25 malam ini.

Terdahulu, pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah turut tiba bagi menyertai himpunan.

 

 

 

 

 

 

 

 

8.35pm - Padang Timur: Pemangku Presiden DAP Tan Kok Wai dalam ucapannya memaklumkan hari ini merupakan hari lahir Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

"Beliau tidak beritahu saya dan saya pun tak bertanya, tetapi saya tahu harapan terbesarnya adalah menumbangkan kerajaan BN," katanya.

Tan juga menggesa hadirin menyumbang dalam kutipan dana yang dilancarkan Mat Sabu sebelum itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa keadaan negara telah menjadi buruk kerana perdana menteri yang mengamalkan kleptokrasi, dan menjadi mangsa negara lain demi kepentingan ekonomi dan geopolitik mereka.

"Apabila mereka melihat perdana menteri lemah dan merayu di sana-sini, mereka aakn datang dan meminta pelbagai perkara.

"Dan isu geopolitik ini sangat bahaya, kerana ia melibatkan soal kedaulatan negara," katanya.

8.30pm - Padang Timur: Kehadiran peserta himpunan semakin bertambah. Jumlah kini dianggarkan sekitar 5,000. 

Sesetengah mereka dilihat duduk di atas padang sementara yang lain memenuhi kawasan tempat duduk berhadapan pentas utama.

Veteran PKR Syed Husin Ali berkata beliau berpuas hati dengan kehadiran setakat ini, meski masih jauh dari sasaran asal penganjur.

"Nampaknya ada sokongan untuk himpunan ini. Ini menunjukkan orang ramai marah dengan isu 1MDB," katanya.

Di salah sebuah khemah yang didirikan, pengasas Pusat Memerangi Rasuah & Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata, mereka berjaya menjual 100 set permainan Kleptopoly, permainan ala Monopoly yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kleptokrasi.

8.00pm - Padang Timur: Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi diteruskan selepas peserta berhenti rehat untuk solat Maghrib.

Acara sekitar jam 8 malam ini dibuka dengan persembahan kumpulan rap 5forty2 dan kumpulan tarian Borneo.

Acara diteruskan dengan ucapan timbalan-timbalan presiden parti komponen HARAPAN dan wakil kumpulan bukan kerajaan (NGO).

Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said kemudian akan mendeklamasikan sajak beliau sebelum acara utama iaitu ucapan Presiden HARAPAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan berucap sebelum pelancaran manifesto antirasuah HARAPAN.

Ruang pameran

7.30pm - Padang Timur: Sementara acara dihentikan untuk memberi laluan kepada peserta Muslim menunaikan solat Maghrib, sesetengah peserta himpunan mengambil peluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang skandal 1MDB.

Beberapa khemah didirikan sebagai sebahagian ruang pameran yang mempamerkan poster-poster berkaitan skandal 1MDB.

Salah seorang peserta, Muhamad Shamsuddin, 55, dari Klang berkata pameran itu merupakan usaha yang baik untuk menjelaskan kepada orang ramai tentang skandal yang dikaitkan dengan perdana menteri.

Namun, katanya, kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada mereka yang sudah faham dengan skandal itu.

"Mereka perlu buat pameran seperti ini di tempat-tempat awam seperti pusat beli-belah dan pasar malam," katanya.

Seorang peserta lain, Wan Mohd Riduan, 30, dari Kajang, berkata beliau mendapati pameran itu membantunya memahami isu tentang 1MDB.

"Saya tangkap gambar supaya saya boleh baca nanti. Kalau baca sini, tak masuk kepala," katanya kepada Malaysiakini.

7.00pm - Padang Timur: Himpunan dihentikan selama sejam bagi memberi ruang kepada hadirin untuk berehat dan menunaikan sembahyang Maghrib.

'Himpunan sudah berbeza'

6.40pm - Padang Timur: Bertahun-tahun berjuang melawan BN yang diketuai Tun Mahathir Mohamad, aktivis Reformasi veteran Nashita Md Noor hari ini hadir ke himpunan, walaupun mengakui pada awalnya keberatan ekoran Mahathir yang kini memimpin HARAPAN.

Katanya, akhirnya beliau dan keluarga memutuskan untuk menyertainya. Suaminya Bad Latif Mansor sebelum ini pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Suasana himpunan sekarang tidak lagi sama," katanya berhubung program itu yang dianjurkan secara suasan pesta.

Nashita bersama anaknya Asiah sebelum ini juga pernah ditahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, kerana terlibat dalam demonstrasi #TangkapNajib pada 2015 di ibu kota.

Beliau adalah salah seorang aktivis era Reformasi yang pernah menyuarakan kebimbangan berhubung penglibatan Mahathir dalam pembangkang.

"Masih sukar untuk terima, tetapi selepas berbincang dengan beberapa kawan, saya mula mempunyai perspektif baru," katanya.

Bekas pengerusi SPR: 99% rancangan BN untuk tipu rakyat

6.35pm - Padang Timur: Naib Presiden AMANAH Datuk Mujahid Yusof Rawa mengambil alih pentas dengan mensasarkan "pemimpin BN yang korup".

"Pada zaman dulu kita bersatu menghalau penjajah, tetapi hari ini kita ada penjajah daripada bangsa sendiri. Sekarang kita perlu bersatu untuk menentang penjajah ini," katanya.

Sementara itu, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, 99 peratus rancangan yang dijalankan BN adalah untuk menipu rakyat.

"Jangan terkejut, saya bekas pengerusi SPR. Saya berdiri di sini, sebab saya muak melihat kelakuan pemimpin kerajaan, yang dulu kononnya 'bos' saya.

"99 peratus rancangan (BN) diadakan untuk menipu, menawan hati rakyat. Beri sedikit, kaut banyak," katanya.

6.30pm - Padang Timur: Tinjauan mendapati himpunan kali ini gagal menarik golongan muda, apabila Padang Timur setakat ini dipenuhi golongan berusia.

Seorang wanita yang berusia sekitar 60-an berkata, ia kerana HARAPAN gagal menarik sokongan mereka.

"HARAPAN gagal memberitahu golongan muda apa yang mereka dapat daripada mereka, jadi mereka tidak berminat untuk hadir ke himpunan seperti ini," katanya.

"Golongan muda hari ini tidak berminat dengan politik," katanya yang meminta Malaysiakini merahsikan identitinya, kerana bekerja sebagai penjawat awam.

Aw Yeong Shin, 34, dari Kuala selangor pula mempunyai pandangan berbeza berhubung perkara itu.

Beliau yang telah menyertai banyak himpunan sejak lima tahun lalu berkata, anak muda yang dahulunya bersemangat kini sudah berasa putus asa.

"Sesetengah kawan saya yang menyertai himpunan pada tahun-tahun sebelumnya kecewa kerana tidak melihat sebarang perubahan. Jadi mereka tidak sertai lagi.

"Tetapi saya melihat ia sebagai tanggungjawab seorang warga. Kita perlu ambil berat tentang negara kita dan tidak mudah kecewa," katanya.

'Wanita, berhenti menangis dan lawan!'

6.20pm - Padang Timur: Ketua Wanita HARAPAN Zuraida Kamaruddin dalam ucapan penuh semangatnya menggesa golongan wanita yang kecewa dengan kenaikan harga barang dan GST agar bangun melawan BN.

"Saya katakan, wanita tidak perlu menangis, (bangun dan) tendang Najib dan BN. Ini adalah masa terbaik untuk ambilalih (kerajaan)," katanya.

"Pada 1998, kita ada bapa Reformasi, Anwar Ibrahim. Sekarang, kita ada pejuang baru. Siapa? Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan semua anggota BERSATU," katanya.

Sementara itu, kain rentang sebagai sokongan kepada naib presiden PKR Tian Chua yang kini dipenjara turut digantung di sisi pentas.

6.10pm - Padang Timur: Setiap himpunan tidak akan sah tanpa gimik menarik dari hadirin, dan untuk himpunan kali ini, Ketua PKR Muar Yatim Sarpan nampaknya berjaya menarik perhatian peserta yang lain.

Yatim, 62, dilihat membawa sepanduk "BN Umno curi duit rakyat" dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Namun apa yang menarik perhatian adalah wang yang digantung di bawah sepanduk itu dengan menggunakan tali - nota RM1, RM5, dan RM10 dengan jumlah kira-kira RM70.

Di mana sahaja beliau pergi, peserta akan datang untuk mengambil gambar bersamanya dengan sepanduk yang digantung wang itu.

"Rakyat selalu cakap Umno dan BN curi wang. Ramai yang datang (untuk mengambil gambar). Mereka kata idea saya yang terbaik," katanya sambil ketawa.

Ketika ditanya tentang tulisan Cina di sepanduknya, beliau menjelaskan yang seorang kawan membantu menulisnya.

6.00pm - Padang Timur: Pengerusi HARAPAN Dr Mahathir Mohamad meninggalkan pentas. Beliau dijadualkan datang semula malam ini selepas berehat.

Ketika dihampiri, Mahathir berkata beliau puas hati dengan kehadiran setakat ini.

"Sekitar 10,000, tapi saya tak boleh pastikan," katanya.

Ketika ditanya sama ada sasaran 100,000 boleh dicapai, bekas perdana menteri itu menjawab, "kita tengok sendiri nanti macam mana".

 

 

Wanita PKR ikut serta berzapin

5:50pm - Padang Timur: Presiden BERSATU Datuk Seri Muhyiddin Yassin mendapat sambutan meriah penyokong HARAPAN ketika berjalan di kawasan padang.

Ramai peserta mengambil kesempatan untuk bergambar dengan bekas timbalan perdana menteri itu.

Sementara itu, persembahan diteruskan di pentas utama dengan tarian zapin.

Sekumpulan anggota PKR wanita dari Pulau Pinang dilihat ikut menari zapin di atas padang.

"Kumpulan kami terdiri daripada 20 orang. Kami sudah ada di sini sejak pukul 1 tengahari tadi. Kami sedia untuk berpesta," kata Rahimah Adnan, 42.

5.45pm - Padang Timur: Semakin ramai peserta himpunan kelihatan di Padang Timur. Dianggarkan sekurang-kurangnya 3,000 di kawasan padang ketika ini.

5.30pm - Padang Timur: Sesetengah peserta yang ditemui mengaku menyahut saranan penganjur untuk menggunakan pengangkutan awam. Ada peserta yang datang dari Kuala Terengganu meletak kenderaan mereka di ibu kota sebelum menaiki LRT ke Taman Jaya.

“Saya tidak pernah terlepas satu pun himpunan utama sejak himpunan BERSIH,” kata Ng Chai Hing, 58, dari Kuala Terengganu.

“Kami datang dengan dua kereta. Kami datang berlapan. Tadi kami naik LRT dari Masjid Jamek,” katanya.

Osman Salleh, 58, yang juga datang dari Kuala Terengganu berkata walaupun sudah lanjut usia, dia tetap datang untuk beri sokongan kepada HARAPAN.

Sejak pukul 5 petang tadi, hampir setiap LRT yang tiba di Taman Jaya membawa gerombolan penyokong himpunan. LRT Taman Jaya merupakan stesen paling hampir dengan Padang Timur.

5.00pm - Padang Timur: Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU Datuk A Kadir Jasin yakin masyarakat semakin sedar dengan masalah yang dihadapi negara hari ini.

“Insya-Allah, ramai orang akan hadir pada Himpunan Sayangi Malaysia petang ini.

“Kehadiran orang awam ke himpunan ini membuktikan rakyat Malaysia sudah mula memahami apa itu kleptokrasi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau tiba di Padang Timur sekitar pukul 4 petang.

Wartawan veteran itu berkata, walaupun rakyat Malaysia baru sahaja diperkenalkan dengan istilah itu tahun ia, ia telah mula memberi kesedaran kepda rakyat.

"Jika sistem ini berterusan (di negra ini), ia amat bahaya. Rakyat akan mula membanteras sistem ini," katanya lagi.

Kumpulan alternatif

4.30PM - Padang Timur: Kumpulan yang dikenali sebagai Sosialis Alternatif sedang membuka tapak jualannya di padang untuk menjual risalah mereka, namun mereka berkata kehadiran bukan tanda sokongan kepada HARAPAN.

Wakil kumpulan itu, Mohamad Amerul Zufar berkata, tujuan mereka adalah untuk menentang kapitalisme dan bukannya menyokong pakatan pembangkang itu.

"Kami adalah kumpulan yang mencari alternatif dalam politik. Kami menyokong pekerja dan menentang kapitalisme dan nasionalisme.

"Misalnya kami berkempen untuk meningkatkan gaji dan menurunkan harga rumah. Kita perlu keluar daripada kapitalisme dan memilih sosialisme," kata Amerul.

Menurutnya, Malaysia akan tetap berhadapan masalah walaupun HARAPAN mentadbir negara, selagi sistem kapitalisme tidak diatasi.

"HARAPAN akan tetap bekerjasama dengan syarikat luar yang mengeksploitasi pekerja. Ahli politik perlu berkhidmat kepada rakyat, bukan demi keuntungan," katanya lagi.

4.25PM - Padang Timur: Himpunan nampaknya mula berjalan dengan nyanyian lagi kebangsaan oleh kira-kira 1,500 peserta.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu kemudian mengetuai hadirin melaungkan "Malaysia kita punya". Pemimpin lain HARAPAN juga dilihat mula menaiki pentas.

4.10pm - Padang Timur: Pemimpin HARAPAN mengambil tempat di pentas. Sayap pemuda mula memberi ucapan.

Ratusan peserta menghampiri kawasan pentas sementara yang lain masih berteduh di kawasan berhampiran.

Pengerusi HARAPAN Dr Mahathir Mohamad tiba dan mengambil tempat bersama-sama pemimpin-pemimpin utama pakatan pembangkang itu di pentas.

Mana golongan muda?

3.45pm - Padang Timur: Orang ramai mula kelihatan berkumpul di sekitar Padang Timur. Rata-rata golongan pertengahan umur dan ke atas. 

Ketua AMANAH kawasan Batu, Ishak Surin berkata golongan muda perlu hadir dan menyertai himpunan antikleptokrasi.

"Wajib bagi anak muda menentang kekejaman, bererti berdosa jika anda tidak bersama kami.

"Dr Mahathir Mohamad berumur 92 tahun dan masih berjuang untuk negara. Memalukan bagi mereka yang lebih muda tidak menyertai perjuangan ini," kata aktivis berumur 82 tahun itu.

Jamal tidak kelihatan

3.30PM - Padang Timur: Bendera PKR sudah mula kelihatan.

Namun, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos masih tidak kelihatan.

Berdasarkan akaun Facebook Jamal, dia membuka gerai ikan murahnya di Meru, Selangor pagi tadi sebelum menuju ke Kuala Lumpur untuk memantau gerai makanannya yang dibuka untuk memberi makanan kepada golongan miskin.

3.15pm - Padang Timur: Sekitar 70 orang turun dari bas yang berhenti berhampiran kawasan himpunan. Menurut Lim Tze Fei, 45, kesemua mereka adalah penyokong HARAPAN dari Kluang dan Mersing, Johor.

FRU siap sedia

3.00pm - Amcorp Mall: Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat telah bersiap sedia bagi mengawal segala kemungkinan yang tidak diingini berlaku semasa himpunan anti-kleptokrasi petang ini.

Pasukan FRU itu dilihat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya sekitar jam 2.00 petang tadi dan sebanyak empat buah kenderaan FRU berada di sana.

2.40PM - Amcorp Mall: Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka tiba di Padang Timur pada pukul 4 petang dan akan berucap sebelah malam.

"Beliau (Mahathir) akan melawat sekitar kawasan himpunan dan gerai-gerai jualan. Beliau kemudian akan pulang untuk berehat dan datang semula pukul 8 malam," kata pegawai media BERSATU Mohd Ikhmal Abu Bakar.

2.35PM - Padang Timur: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos dan gerai ikannya tidak kelihatan seperti yang didakwanya sebelum ini.

Beberapa pemyokongnya berkata beliau mungkin akan tiba pukul 3.00 petang.

Terlupa tiang bendera PKR

2.30PM - Padang Timur: Jalan-jalan di sekitar kawasan himpunan dipenuhi dengan bendera parti komponen HARAPAN kecuali bendera PKR.

Difahamkan, sukarelawan parti terlupa membawa tiang kayu untuk memacak bendera.

Jawatankuasa teknikal himpunan Faiz Fadzil bagaimanapun memberi jaminan masalah itu akan diselesaikan secepat mungkin.

"Tiang kayu bendera sudah ada dan sedang dibawa ke sini. Setiap parti sepatutnya bawa tiang kayu sendiri, jadi mungkin ada sedikit salah faham," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui.

Sementara itu, kawasan Padang Timur kelihatan lengang meski gerai-gerai menjual barangan, makanan dan lain-lain sudah mula dibuka.

Penyokong datang dari Johor

Beberapa kelompok orang ramai yang seperti bakal menyertai himpunan itu dilihat berteduh dari terik matahari berhampiran restoran A&W dan pusat beli-belah AmCorp Mall.

Di pentas, petugas himpunan dilihat membuat persediaan akhir dengan lagu-lagu patriotik seperti "Keranamu Malaysia" dimainkan.

Alwi Idrus (gambar), 69, anggota BERSATU membayar tambang bas RM50 dari Johor untuk menyertai himpunan itu.

"Bukan saya sendiri, semua anggota PKR, AMANAH dan DAP yang datang dengan bas sama dari Mersing menggunakan duit sendiri.

"Saya cuma ahli biasa, tapi saya datang untuk (menyokong) perjuangan parti," katanya.

Alwi sebelum ini menyertai Umno ketika berumur 16 tahun namun meninggalkan parti itu pada 1996 ketika Dr Mahathir sebagai presiden parti.

"Saya keluar Umno kerana beliau enggan dengar suara rakyat, dan saya kembali sokong beliau kerana beliau mula dengar suara kita semula," katanya yang menambah dia ingin melihat Najib Razak dijatuhkan.