Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Royalti, Khairul Nizam Abd Ghani, 36, diangkat sebagai calon dewan undangan negeri (DUN) Kota Lama, Kota Bharu bagi mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan berkata, selepas 30 tahun PSM tampil memberi pilihan kepada rakyat Kelantan khususnya di DUN Kota Lama selain calon-calon parti lain pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Kali terakhir kita bertanding di Kelantan melalui Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) pada tahun 1986.

"Jadi kita rasa sudah tiba masanya untuk letakkan calon dan melihat sejauh mana penerimaan rakyat," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Tambah Arutchelvan, dorongan untuk meletakkan calon di kawasan itu juga dibuat selepas mendapat maklum balas khususnya dari kalangan anak muda.

"Anak muda ini sudah bosan dengan politik BN dan PAS yang mewakili kerajaan negeri.

"Mereka bosan kerana melihat tidak banyak perbezaan antara BN dan PAS, " katanya.

Sementara itu Khairul Nizam berkata, pilihan untuk bertanding di DUN Kota Lama dibuat kerana diyakini mampu dicapai oleh PSM sebagai parti baru dan kecil.

"Di sini mempunyai pengundi campuran, sebagai kawasan bandar mereka tidak perlukan isu-isu berbentuk sentimen kaum dan agama.

"Jadi kami tawarkan kepada rakyat Kota Bharu untuk membolehkan kami berada dalam DUN supaya dapat mengimbangi parti-parti gergasi yang ada di Kelantan, " katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan bermastautin di Kelantan sejak lapan tahun lalu.

Khairul Nizam yang lebih dikenali sebagai Aduka Taruna dilihat sebagai tulang belakang di sebalik gerakan Royalti di Kelantan dan bertugas sebagai pengarah penyelidik dalam pertubuhan itu.

Ditanya mengenai isu utama yang bakal diberi tumpuan, Khairul Nizam menjelaskan beliau melihat banyak isu-isu ekonomi yang tidak diurus dengan betul oleh kerajaan negeri.

"Walaupun banyak hal ekonomi yang baik di sini, tetapi ada banyak juga hal-hal (ekonomi) yang salah perlu dibangkitkan.

"Terutamanya isu pendapatan kerajaan negeri setiap tahun sekitar RM300 juta dengan 60 peratus kemusnahan sumber alam dan tidak mencari sumber baru untuk meningkatkan permintaan dalam negeri, " katanya.

Sebelum ini, DAP turut menyatakan hasrat untuk meletakkan calon mereka bagi mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) di kerusi tersebut pada PRU14 nanti.

Bagaimanapun perkara itu belum muktamad memandangkan perbincangan agihan kerusi antara kompenan HARAPAN belum selesaikan.

Dengan perkembangan terbaru ini, kerusi yang kini disandang wakil PAS, Datuk Annuar Tan itu kemungkinan bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya empat penjuru.

Lihat Komen
ADS